Malaysia Dateline

Kerajaan bincang benarkan rentas negeri, buka gelembung pelancongan kedua

Kerajaan akan berbincang untuk membuka perjalanan antara negeri dalam beberapa hari ini bagi merancakkan pemulihan semula ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini demi memastikan supaya pusat gelembung pelancongan tidak hanya fokus pada pusat peranginan di pulau-pulau dalam negara.

Menurutnya, kementerian juga telah menyenaraikan beberapa pusat pelancongan lain untuk dibuka kepada orang luar.

“Kerajaan kan berbincang dalam dua, tiga hari ini untuk membuka interstate (perjalanan negeri). Bila buka, orang luar boleh masuk.

“Kami dah senaraikan nama destinasi bukan sahaja pulau, tapi termasuk Genting Highland, Cameron, Fraser dan destinasi lain yang boleh menarik minat orang untuk bergerak. Apabila mereka bergerak, ekonomi akan meningkat,” katanya dalam sesi jawab lisan pagi ini di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) yang menyarankan kerajaan segera melancarkan lebih banyak gelembung pelancongan agar pelancong tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja iaitu di Langkawi.

Beliau berkata, kerajaan wajar memfokuskan kepada kawasan-kawasan lain dan tidak terhad kepada hanya di pulau.

“Kita tidak mahu ada kesesakan yang hanya tertumpu di satu kawasan. Kalau boleh tolong percepatkan pembukaan gelembung yang lain

“Ia tidak boleh hanya diterhadkan di kawasan pulau-pulau sahaja. Ada banyak kawasan lain yang juga patut diberikan peluang sewajarnya. Di Muar buat masa ini kebanyakan hotel desa terpaksa ditutup dan nak gulung tikar.

“Saya harap dalam tempoh sebulan dua ini, situasi yang teramat kritikal dapat dibantu,” katanya.