Kerajaan BN Kedah tidak peduli kelestarian pelancongan negeri

Kerajaan BN Kedah tidak peduli kelestarian pelancongan negeri

Kerajaan BN Kedah bukanlah sebuah kerajaan yang peduli rakyat, malah didakwa  tidak pernah memberi perhatian serius terhadap jutaan wang yang telah dihabiskan bagi pelbagai projek pelancongan di Langkawi.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Amanah Kawasan Langkawi, Hasbi Mohamad ketika ditemui selepas meninjau kawasan sekitar Taman Sungai, Kuala Muda, di Kampung Bohor Chantek, Padang Mat Sirat.

Jelas beliau lagi, ketidakpedulian kerajaan negeri khususnya exco pelancongan Kedah menyebabkan jutaan ringgit telah terbuang begitu sahaja.

Hasbi Mohamad“Taman ini terbiar tanpa dipedulikan oleh kerajaan negeri sedangkan ia mempunyai lokasi yang bersebelahan dengan Jambatan Kuala Muda yang begitu indah dan menarik.

“Ia juga dikenali sebagai ‘River Park’ bersebelahan dengan Sungai Melaka yang dahulunya menjadi tarikan utama pelancong serta mampu menjana pendapatan penduduk kampung sekitar.

“Namun begitu kelemahan kerajaan negeri untuk memastikan kawasan ini kekal sebagai daya tarikan pelancong membuatkan ia terbiar dan merugikan sehingga kini, ” jelasnya lagi.

Tinjauan yang dibuat juga mendapati pondok-pondok rekreasi sudah tidak lagi dipedulikan sejak sekian lama.

Malah bangunan yang penuh dengan seni dan ukiran tersebut turut rosak serta banyak dinding telah tertanggal.

“Bangunan yang telah dibangunkan untuk dijadikan pasar yang penuh dengan puluhan gerai semakin rosak, sedangkan banyak wang telah dikeluarkan bagi pembinaan bangunan tersebut.

“Siling dewan besar yang ada juga semakin meruntuh dan jatuh ke lantai.

“Manakala pendawaian juga sudah menjadi mangsa kecurian akibat tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa, ” tegasnya lagi.

Lokasinya  bersebelahan dengan Jambatan Kuala Muda yang begitu indah dan menari kini terbiar.

Beliau juga berkata, sepatutnya kerajaan negeri melalui Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri mempunyai insiatif bagi membangunkan semula kawasan rekreasi yang pernah menjadi tarikan pelancong suatu ketika dulu.

“Kedudukannya yang begitu hampir hanya beberapa meter sahaja dari Jambatan Kuala Muda boleh dilihat dengan jelas bagi sesiapa yang melalui jambatan tersebut.

“Sekiranya usaha diambil secara serius oleh pihak kerajaan negeri untuk memulihara lokasi ini, ia mampu memberi pulangan yang begitu lumayan bagi meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

“Namun begitu, terbukti kerajaan BN yang memimpin Langkawi kini lemah dan tidak berdaya untuk memperbaiki kedaifan tersebut, ” ujarnya lagi.

Pondok-pondok rekreasi sudah tidak lagi dipedulikan sejak sekian lama.

Bangunan terbiar kosong dengan bumbung yang sudah roboh.Beliau juga berkata, banyak lagi projek pelancongan yang sebelum ini didakwa untuk kepentingan rakyat diwujudkan oleh kerajaan negeri, sebaliknya ia tidak dikawal selia dengan baik sehinggakan memberi imej yang buruk kepada Langkawi.

Tambahnya lagi, pendedahan demi pendedahan akan terus dibuat bagi membuktikan kerajaan BN Kedah yang memimpin Langkawi tidak peduli terhadap keperluan rakyat, sebaliknya lebih berminat untuk menghabiskan wang rakyat atas nama pembangunan yang menguntungkan kroni dan pimpinan Umno dan BN semata-mata.

Katanya lagi, kepimpinan boros dan menghabiskan wang rakyat yang menjadi amalan kepimpinan Umno dan BN yang menerajui negeri Kedah seharusnya tidak diberi ruang sekali lagi untuk menerajui kepimpinan dalam pilihan raya umum yang akan datang.