Malaysia Dateline

Kerajaan BN Terengganu masih teruskan budaya membazir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, isu pembaziran dan projek-projek sakit masih tidak ditangani dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh Barisan Nasional.

Budaya pembaziran dan tiadanya sikap bertanggungjawab terhadap pembangunan yang terbengkalai masih diteruskan, kata beliau.

Berdasarkan penilitaian beliau melalui persidangan dewan undangan negeri itu yang diadakan baru-baru ini, terdapat beberapa contoh projek yang disifatkan oleh beliau sebagai bermasalah dan membazir itu.

“Taman Ilmu di Besut masih belum disiapkan walaupun Kerajaan telah umumkan telah siap digunakan. Yang digunakan hanya beberapa blok hostel sahaja yang disewakan kepada universiti berdekatan.

“Bangunan-bangunan Dewan Konvokesyen, Perpustakaan, Bangunan Pentadbiran, Pusat Pelajar dan Kompleks Sukan di atas tapak 700 ekar tersebut masih belum siap untuk digunakan. Jawapan Taman Ilmu yang berharga RM300 juta telah di buka sangatlah tidak benar.

“Kenapa selepas lebih 10 tahun ia masih terbiar dalam keadaan menyedihkan dan kerajaan tidak mengakui hakikat sebenarnya?” soal beliau.

Selanjutnya kata beliau, kenyataan Pusat Bebas Cukai di Tasek Kenyir yang telah diumumkan telah dibuka juga tidak tepat. Pusat Bebas Cukai bernilai RM300 juta di Pulau Sumas di tengah-tengah Tasek Kenyir masih terbengkalai dan keadaan terbiar. Yang dikatakan telah dibuka adalah kiosk di Pengkalan Gawi di jeti Pintu Masuk Kenyir yang menjual hanya beberapa barangan.

Mengapa sekali lagi kerajaan tidak memberi maklumat yang tepat dan benar? soal Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

“Isu Bas “amphibia”, iaitu bas dua alam, juga dibahas di mana persoalan kenapa bas yang berharga RM3 juta masih belum diterima setelah menunggu lebih lima tahun dan sekarang diberitakan kerajaan baru hendak menyaman pihak berkenaan.

“Soalannya juga kenapa kerajaan membayar wang pendahuluan begitu banyak semasa menempahnya dan tiada laporan kemajuan pada tahun berikutnya walaupun pasukan teknikal diberitakan membuat beberapa lawatan ke kilangnya di Eropah?” soal beliau lagi.

Kesemua isu tersebut di atas kata Raja Bahrin, menunjukkan tadbir urus yang lemah dan tiada sikap bertanggungjawab meneruskan dan menyiapkan projek-projek yang telah dilaksanakan walaupun dari kerajaan BN yang sama yang memerintah. Di manakah perancangan yang rapi serta akauntabiliti yang telus dalam mentadbirkan kerajaan negeri yang kaya berbelanja lebih daripada RM2 billion hampir setiap tahun?

“Walaupun kerajaan di bawah Datuk Razif menawarkan janji TRANSFORMASI TERENGGANU BARU, tetapi apa yang diamalkan adalah budaya lama yang lemah tanpa kesinambungan.

“Selepas projek Taman Ilmu berharga RM320 juta dilaksanakan di zaman Datuk Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, kerajaan di bawah Menteri Besar berikutnya mengabaikannya projek itu sehingga terbengkalai sampai hari ini.

“Selepas projek Kompleks Pusat Bebas Cukai Kenyir berharga RM300 juta pula dilaksanakan pada masa Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar, kerajaan berikutnya juga mengabaikannya sehingga sekarang sampai terbengkalai.

“Trendnya kelihatan konsisten di mana Menteri Besar yang mengambil alih kepimpinan negeri hanya berminat memulakan projek baharu mereka sendiri dan bukan menyiapkan projek yang telah dirancang dan dibina sebelumnya.

“Ini adalah sikap yang unik membazir dan tidak sihat serta merugikan yang terdapat hanya di negeri Terengganu. Banyak manapun perbelanjaan yang dikeluarkan tidak boleh dinikmati oleh rakyat seperti sepatutnya. Ini termasuklah juga projek lain yang rosak yang tidak di ganti sehingga hari ini seperti bumbung Stadium Bola Sepak di Gong Badak dan bumbung Kolam Renang di Batu Buruk,” kata beliau.