Kerajaan boleh contohi Selangor bina rumah mampu milik

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Persekutuan disaran mencontohi dasar Rumah Selangorku yang memberi keutamaan kepada pembinaan rumah mampu milik.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dasar tersebut menguntungkan rakyat, dan terbukti keberkesanannya dalam menyelesaikan masalah harga rumah mengikut pasaran semasa.

Dasar Rumah Selangorku menetapkan syarikat pemaju membina lebih banyak projek rumah mampu milik demi kepentingan rakyat Selangor.

“Polisi Rumah Selangorku yang berkuatkuasa sejak Januari 2013 mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik atau Rumah Selangorku,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai contoh katanya, pemaju yang membangunkan projek perumahan lebih 10 ekar wajib membina 30 hingga 40 peratus rumah mampu milik.

“Terdapat beberapa komponen (rumah) berharga RM42,000, RM100,000, RM150,000, RM180,000, RM220,000 dan RM250,000,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Persekutuan lebih komited memantau projek perumahan milik mereka berbanding pentadbiran Selangor.

Katanya, meskipun Kerajaan Negeri tidak mengawal harga rumah secara langsung, namun ia berusaha untuk memastikan terdapat stok perumahan di pasaran bagi golongan berpendapatan rendah juga sederhana.

“Sejak usaha ini dipergiatkan pada 2015, lebih 20,000 unit rumah diluluskan untuk dibina pemaju, selain Kerajaan Negeri juga turut mengawal jualan rumah mampu milik,” kata Iskandar.

Beliau berkata, pemaju perumahan Selangor juga diwajibkan menjual Rumah Selangorku kepada pembeli berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berpandukan kepada pendapatan isi rumah bulanan.

“Saya yakin polisi Rumah Selangorku ini sedikit sebanyak menyelesaikan masalah harga rumah yang semakin tidak terkawal.

“Kerajaan Persekutuan perlu memiliki “political will” untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah juga sederhana mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Baru-baru ini menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar kerajaan membenarkan pemaju memberikan pinjaman perumahan dengan kadar faedah berjumlah 10 hingga 18 peratus.

Mengulas cadangan tersebut, ahli parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Kahiruddin Aman Razali berkata, ia tidak menyelesaikan isu sebenar iaitu harga rumah yang terlalu tinggi, bahkan akan memerangkap lebih ramai lagi pembeli dengan masalah hutang dan kadar faedah yang tinggi walaupun syarat kelayakan pinjaman mungkin menjadi lebih mudah.

Sebaliknya beliau mencadangkan agar Kerajaan-kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan membuka perkampungan-perkampungan baru dengan premium tanah yang rendah dan membina rumah asas tiga bilik dengan kos di bawah RM75,000 seunit.

Kerajaan juga dicadang menawarkan pinjaman secara ‘qard al-hasan’ (pinjaman tanpa faedah) kepada golongan yang memerlukan dan berkelayakan menurut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi dana khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Walaupun tidak dapat meraih keuntungan dengan pinjaman yang diberikan, Kerajaan Negeri tetap boleh mengenakan caj perkhidmatan pada kadar kos sebenar,” katanya.