Malaysia Dateline

Kerajaan boleh halang kenaikan tambang bas sekolah, kata Mahfuz

Kegagalan kerajaan pimpinan Umno dan BN untuk mengawal kenaikan tambang sekolah sekiranya dinaikkan pada tahun hadapan, adalah suatu musibah besar kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Malah ia memberi kesan yang amat besar kepada keluarga miskin dan daif yang terpaksa menggunakan bas sekolah untuk ke sekolah.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap pada program ceramah isu semasa di Pekan Yan Kecil, Guar Chempedak, Sabtu lalu.

Jelas beliau lagi, kenaikan tambang bas tersebut amat membebankan serta memberi impak yang amat besar apabila ia turut menggugat beban kos sara hidup yang amat melampau ketika ini.

“Kerajaan boleh menghalang kenaikan ini sekiranya mereka benar-benar ingin membela nasib rakyat yang amat tertekan dengan kenaikan tersebut tidak lama lagi.

“Sebagai pemerintah, kerajaan mampu untuk memberi subsidi kepada operator bas sekolah melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan beban mereka.

“Mereka boleh memberi insentif kepada operator bas sekolah dan mengurangkan kos lain sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, ” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, kerajaan boleh mengawal kenaikan ini sekiranya mereka serius dan prihatin terhadap kenaikan harga minyak yang amat melampau.

Namun begitu, kerajaan pimpinan Umno dan BN begitu jelas gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah sehingga membiarkan rakyat terus sengsara dan terbelenggu dengan kenaikan pelbagai harga barangan kini.

“Kesan dari kegagalan kerajaan yang ada, rakyat menjadi mangsa.

“Terdapat usaha yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengawal kenaikan harga barangan dengan memberi subsidi bagi barangan keperluan harian seperti petrol, diesel, tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya.

“Walau bagaimana pun mereka gagal, tidak berdaya serta tidak mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang membela nasib rakyat dan menggembirakan golongan marhaen, ” tegasnya.

Ujarnya lagi, kegagalan kerajaan Umno dan BN inilah menyebabkan Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh beriltizam serta istiqamah untuk mengambil alih kuasa yang ada.

“Dengan membiarkan Umno dan BN meneruskan kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang, ia akan menyukarkan kehidupan rakyat.

“Selain dari membebankan, mereka juga sudah tidak mempunyai idea untuk membuat perubahan bagi menyenangkan rakyat.

“Maka itu, adalah wajar bagi rakyat menolak pemerintahan Umno dan BN bagi tempoh lima tahun yang akan datang seandainya tidak lagi mahu ditekan dan dijajah melalui pelbagai polisi yang menguntungkan mereka semata-mata, ” tambahnya lagi.

Adalah difahamkan kerajaan negeri PH Pulau Pinang memberi insentif mulai 2016 kepada operator bas sekolah berdaftar sebanyak RM600 setahun.

Dengan insentif tersebut ia mampu mengurangkan beban dan kos lain yang sepatutnya ditanggung oleh operator bas sekolah berkenaan apabila sumbangan kerajaan negeri diberikan dua kali setahun.

Hadir sama dalam program ceramah tersebut ialah kepimpinan Amanah, Bersatu dan PKR Negeri Kedah.