Malaysia Dateline

Kerajaan buat pusingan U kedai gunting rambut, penuntut IPT kekal di kolej

Kerajaan hari ini akhirnya membuat pusingan U apabila tidak membenarkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan itu sekali gus bertentangan dengan ketetapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menyenaraikan kedai gunting rambut dan kedai cermin mata antara tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini juga memberitahu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta dan kolej komuniti akan kekal berada di kampus kediaman masing-masing sepanjang PKP.

Pada 10 April lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.