Malaysia Dateline

Kerajaan buat rakyat seperti terdesak, terpaksa berebut tempah vaksin

Pemikir AMANAH Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menganggap pengurusan sistem pendaftaran vaksin yang dibuka kerajaan semalam amat lemah sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai kerana gagal membuat tempahan biarpun berkali-kali cubaan dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan seperti tidak bersedia menerima kebanjiran pelayar pada satu-satu masa dan seolah-olah cuba mewujudkan suasana yang terdesak sehingga memaksa rakyat untuk berebut.

“Bagaimana dengan rakyat yang tiada capaian internet atau tidak mempunyai peranti untuk menempah slot? Ini menjadikan suasana yang tidak adil kepada golongan ini.

“Rata-rata kecewa dengan proses perebutan pendaftaran slot pengambilan vaksin ini walaupun ia kali kedua dilaksanakan. Namun menteri yang bertanggungjawab seolah-olah tidak mengambil iktibar.

“Selepas ini kerajaan tidak seharusnya menuding jari ke arah rakyat sekiranya tahap pendaftaran vaksin ini lemah dalam negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan peristiwa yang berlaku semalam sangat mengecewakan kerana rata-rata rakyat sangat menantikan saat untuk mendaftarkan vaksin.

Tambahnya lagi, tugas kerajaan hari ini adalah untuk menyediakan bekalan vaksin secukupnya kepada rakyat yang ternyata amat memerlukan bekalan tersebut.

“Kita tidak mahu rakyat menganggap kerajaan ini adalah kerajaan gagal kerana jelas mereka gagal membantu rakyat untuk mendapatkan vaksin secukupnya nanti.

“Saya turut menyokong kenyataan untuk pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikat yang membangunkan sistem pendaftaran vaksin ini dan kos yang dikatakan terlalu tinggi dengan hasil yang telah ditunjukkan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini peruntukan RM70 juta bagi Integrasi Data dan Sistem Janji Temu adalah melibatkan integrasi dan pembangunan sistem pengantara bagi memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin serta pemantauan bekalan vaksin daripada penerimaan sehingga selesai vaksinasi dos lengkap di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara sistem yang akan dibangunkan bagi Integrasi Data dan Sistem Janji Temu itu adalah pengurusan dan pemantauan pencapaian program imunisasi dan pembangunan ‘dashboard’ pelaporan harian.

Menurutnya, turut akan dibangunkan ialah integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dengan sistem sedia ada farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pembangunan sistem Chatbot, pembangunan laman portal pendaftaran vaksin, dan sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin.