Malaysia Dateline

Kerajaan cadang belanjawan tambahan bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020

 Kerajaan Persekutuan mencadangkan belanjawan tambahan bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Oleh itu, vendor dan perniagaan dalam sektor pelancongan di seluruh negara, terutamanya di Sabah, digalakkan untuk menghantar cadangan baik kepada Perbendaharaan menerusi saluran seperti sesi Kumpulan Fokus, serta laman portal kerajaan, Portal Belanjawan 2020, katanya.

“Kerajaan memberi penekanan kepada pendekatan usaha sama dan oleh itu, dalam Belanjawan 2019, RM100 juta diperuntukkan untuk geran yang sesuai untuk program pemasaran dan promosi antarabangsa.

“Kemakmuran bersama hanya dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama kita untuk memperbaiki ekonomi negara secara amnya, dan khususnya pelancongan,” katanya pada Sesi Kumpulan Fokus: Menggalakkan Pelancongan Dan Kawasan Strategik Lain Di Sabah, yang diadakan semalam di Kota Kinabalu.

Pada tahun 2018, jumlah ketibaan pelancong sebanyak 25.8 juta. Bagi separuh pertama tahun ini, angka ketibaan telah mencapai 13.3 juta.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, kerajaan menyasarkan peningkatan jumlah ketibaan pelancong kepada 30 juta orang.

Lim menyatakan keyakinan bahawa Sabah akan menyumbang kepada pencapaian pertumbuhan jumlah pelancong.

Untuk menyokong usaha negara dalam aktiviti pelancongan yang semakin meningkat, kerajaan dalam Belanjawan 2019 bersetuju untuk mengembalikan 50 peratus dari hasil cukai pelancongan negeri masing-masing.

Sehingga Mac 2019, RM67.7 juta diagihkan kepada semua kerajaan negeri, Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM12.7 juta.

“Perkongsian hasil ini akan diteruskan dengan tujuan menyumbang kepada penyelenggaraan kemudahan pelancongan. Sabah dan Sarawak akan terus menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020, seperti dalam belanjawan sebelumnya, ” kata Lim.– BERNAMA