Malaysia Dateline

Kerajaan cadang perkenal modul baharu komputer dan pengaturcaraan di sekolah

Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang memperkenalkan modul baharu yang memfokuskan kepada komputer dan pengaturcaraan di sekolah bagi menyokong pembangunan modal insan berkeupayaan tinggi dalam teknologi digital.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu yang akan dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang inovasi dan ekonomi digital pada masa depan.

“Kita dalam proses melihat program-program berlainan yang wujud di seluruh dunia termasuk di Jepun, Korea dan Francis yang telah maju dalam bidang teknologi. Saya masih menilai modul-modul sedia ada dan kita kena lihat modul terbaik yang sesuai dengan keperluan negara dan masyarakat kita.

“Apabila ia selesai, saya berharap dalam dua hingga tiga bulan ini cadangan tersebut akan dibawa ke kabinet… ini bergantung kepada keputusan kabinet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya beliau berharap inisiatif tersebut dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Ini satu keperluan. Kita sudah tiada masa dan kita tidak boleh tangguhkan lagi kerana kita perlu bergerak seiring dengan dunia,” katanya.

Terdahulu, Gobind Singh yang juga Anggota Parlimen Puchong melancarkan hab penghasilan digital di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) FES Serdang sini hari ini.

SJKT FES Serdang adalah antara 22 ‘Mydigital Maker Champion School’ yang bertujuan membudayakan penghasilan digital di sekolah-sekolah.

Sementara itu, Gobind Singh berkata gerakan #mydigitalmaker yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah selari dengan matlamat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi pasaran kerja baharu ekonomi digital.

“Pekerjaan pada masa depan akan memerlukan kecekapan digital yang tinggi bukan sahaja untuk menggunakan teknologi tetapi juga berkemampuan mencipta dan membuat pembaharuan atau inovasi teknologi digital,” katanya.

Gobind Singh turut berharap program Mydigital Maker Champion School akan diperluas ke sekolah lain termasuk di kawasan pedalaman di seluruh negara dan ibu bapa serta guru bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam pembentukan modal insan digital.

— BERNAMA