Malaysia Dateline

Kerajaan cadang realisasikan Kolej Kejuruteraan Maritim Tok Bali

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang merealisasikan pewujudan Kolej Kejuruteraan Maritim, Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tertangguh pembinaannya di Tok Bali di sini sejak tahun 2008.

Pengerusi PH Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, pembinaan kolej itu perlu diberi keutamaan kerana lulusan kolej itu nanti boleh terbabit dalam bidang pembaikan bot terutama di Tok Bali sendiri.

“…di Tok Bali sahaja terdapat lebih 340 bot nelayan C2 (laut dalam) yang berpangkalan di Pelabuhan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

“Sebahagian besar pengendali terpaksa ke Narathiwat, Selatan Thailand membaik pulih bot mereka setiap enam bulan sekali kerana kemudahan yang ada (di Tok Bali) tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis bersantai bersama guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pak Amat di sini, hari ini.

Kamaruddin yang juga Pengerusi PH Parlimen Pasir Puteh berkata, beliau akan menemui Pengerusi MARA,Hasnita Hashim dalam tempoh terdekat  bagi mempercepatkan urusan pembinaan kolej berkenaan.

“Pada tahun 2007 kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta  untuk membina kolej itu tetapi ditangguhkan selepas BN gagal menawan Kelantan manakala saya pula gagal mempertahankan sebagai anggota Dewan Undangan (BN) Kawasan Semerak,” katanya.

“Peruntukan itu tidak termasuk pengambilan balik tanah membabitkan lebih 30 hektar yang terletak di kawasan yang berpotensi iaitu berhampiran dengan pelabuhan LKIM, Tok Bali,” tambahnya.

Kamaruddin berkata, mengikut cadangan, pengambilan pelajar pertama dijangka  membabitkan seramai 100 orang dan akan terus bertambah sehingga 1,000 orang pada tahun-tahun berikutnya.

— BERNAMA