Lawan tiga penjuru kerana mahu menangkan BN

Lawan tiga penjuru kerana mahu menangkan BN

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  yakin tindakan parti tertentu yang mahukan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang bertujuan memberi kemenangan kepada BN sekaligus menggagalkan usaha untuk menggantikan kerajaan kleptokrat yang ada.

Menulis di blognya chedet.cc, beliau menyifatkan kerajaan BN pimpinan Datuk Sri Najib Razak sebagai ‘kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar’.

“Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah kerajaan parti-parti campuran pembangkang yang akan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

“Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau meramalkan gabungan parti-parti lawan BN itu menghadapi saingan getir dalam PRU14 lebih-lebih lagi apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Besar kemungkinan mereka menang jika pertandingan hanyalah antara mereka dengan Barisan Nasional.

“Tetapi ada parti-parti yang kononnya akan letak calon untuk melawan Najib dan BN. Dengan ini akan berlakulah pertandingan tiga atau empat penjuru.

“Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah dua atau tiga. Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang,” jelasnya.

Beliau menyifatkan parti-parti yang memecahkan undi dalam pertandingan tiga atau empat penjuru sebagai ‘menyokong BN dan Najib’ serta satu jenis pengkhianatan kepada usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara.

“Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu akan memufliskan negara dan meletaknya di bawah kuasa asing,” ujarnya.

Bahkan  keadaan politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat negara ini hanya akan boleh diatasi sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Najib ini diganti dengan kerajaan baharu, kata bekas perdana menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bidang politik, ekonomi dan sosial telah jadi buruk kerana dasar dan pengurusan Najib, ia  akan menjadi lebih buruk lagi jika Najib terus berkuasa.

“Hanya jika Kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)