Malaysia Dateline

Raja Bahrin Shah

Kerajaan campuran: Pas tidak perlu bersandiwara di pantai timur dan barat

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu menyifatkan Pas bersandiwara dalam isu kerjasama untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat buah negeri di Kelantan Terengganu, Pahang dan Perlis.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Ahmad Shah berkata, tidak salah jika Pas dan Umno ingin menjalinkan kerjasama tetapi Pas seharus berterus terang kepada ahli akar umbi bukannya mempunyai ‘dua wajah’ berbeza dengan kerjasama yang ingin dijalinkan dengan Umno di empat negeri tersebut.

“Kenyataan Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang Umno dan Pas akan mendirikan Kerajaan campuran di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis telah mengejutkan banyak pihak.

“Lebih mengejutkan lagi Pas sendiri terkejut dengan berita tersebut apabila beberapa pimpinan kanan mereka menyatakan bahawa mereka sendiri tidak mengetahui hal tersebut.

“Adakah Umno terdesak untuk membuat kenyataan tersebut menjelang PRK Rantau atau adakah Pas bersandiwara dalam isu ini? soalnya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu berkata, dengan penafian pimpinan Pas itu terhadap kerajaan campuran Pas-Umno, dakwanya, sebagai satu lagi ‘penafian sunat’ yang dibenarkan oleh pimpinan Pas.

“Ramai masih ingat penafian suara Nik Abduh dalam isu rakaman suara terima wang Umno yang kemudiannya di akui sendiri oleh Pas selepas PRU 14 sebagai rakaman yang tulen. Ini adalah persoalan dari orang ramai.

“Cara Datuk SeriMohamad menyatakan persetujuan untuk Pas dan Umno menubuh kerajaan bersama untuk 4 Negeri yang di kuasai mereka kelihatan seolah-olah satu rundingan terperinci telah berlangsung.

“Perlu di ingat beliau adalah Pemangku Presiden Umno dan tidak mudah membuat kenyataan tidak berasas,” ujarnya lagi.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini juga berkata dengan kerjasama Pas-Umno dalam enam kali PRK sebenarnya, telah menguntungkan Umno-BN tetapi bukan Pas.

“Banyak pengorbanan dari ahli-ahli biasa Pas tetapi keuntungan hanya berpihak kepada Umno dan ahli-ahlinya sahaja.

“Sementara pengikut Pas banyak berkorban dan susah pimpinan Pas memberi kenyataan yang bercanggah tentang kerjasama atau kerajaan bersama dengan Umno.

“Di pantai barat Pas berkerja secara terbuka dengan Umno pada PRK Cameron Highlands dan Semenyih sementara di Terengganu dan Kelantan masih banyak berselindung kerana takut penyokong lari.

“Sementara pimpinan Pas pantai Timur menyerang DAP atas isu Pas bersama Umno, naib Presiden Pas Iskandar dari Selangor pantai barat pula menyatakan Pas tidak akan mengabaikan penyokong Cina mereka.

“Beliau menyatakan Pas pernah berkerjasama dengan DAP. Apa yang perlu kita ingat kerjasama itu semasa mushridul am Pas adalah Tok Guru Nik Aziz. Semasa itu Pas berbaik dengan semua pihak kecuali dengan Umno-BN.

“Sekarang sudah berubah dengan drastik apabila PAS hanya berbaik dengan Umno dan bermusuh dengan semua pihak lain. Itu lah beza besarnya,” ujarnya.

Tambah Raja Kamarul Bahrin lagi Pas mempunyai dua wajah yang mesra Umno di Pantai Barat dan tidak begitu di Pantai TImur membabitkan Terengganu dan Kelantan.

“Adakah kerana luka lama dari kezaliman Umno di pantai timur terlalu parah dan mendalam untuk dilupa oleh Pas Terengganu dan Kelantan ?

“Kenapa masih berselindung kepada penyokong setia yang lama menderita di bawah Umno yang telah menyebabkan timbulnya isu kafir mengkafir dan sembahyang dua imam ?

PAS perlu terus terang kepada penyokong dan ahli kalau ingin mendirikan kerajaan bersama UMNO di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.

“su kerajaan perpaduan dengan UMNO ini sebenarnya telah di tentang keras oleh Allahyarham Nik Aziz yang telah menegur Nasarudin Mat Isa yang mempelopori cadangan tersebut. Tidak hairanlah kita apabila SPRM telah menyiasat Nasaruddin Mat Isa dalam isu tuduhan PAS menerima wang dari UMNO.

“Nampaknya Nasaruddin telah memainkan peranan utama mempunyai dua wajah di dua belah pihak ahli PAS dan UMNO dalam isu kerajaan bersama yang tidak di restui Tok Guru Nik Aziz.

“Persoalan utama sekarang adakah Pas juga mempunyai dua wajah kepada ahli serta penyokong mereka?,” soalnya lagi.