Malaysia Dateline

Kerajaan campuran: Umno-Pas tidak mungkin terlaksana, kata AMANAH Pahang

Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar menyifatkan hasrat pimpinan Pas dan Umno untuk mewujudkan kerajaan campuran bukanlah mudah untuk dilaksanakan kerana dasar dan asas kerjasama itu sendiri tidak jelas.

Hamzah berkata selama ini ahli Pas amat sukar membuat pendirian keluar dari Pas apabila diwar-warkan bahawa Pas akan bekerjasama dengan Umno kerana majoriti ahli Pas tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan parti itu.

Katanya lagi, jika kerjasama dua parti politik tersebut dibuat atas dasar demi bangsa Melayu dan menyelamatkan negara, beliau mempersoalkan apakah Pas selama ini tidak tahu bahawa Umno yang selama ini memerintah Malaysia, bukannya DAP.

“Sepanjang pemerintahan Umno, tanah rizab Melayu telah berkurang sehingga berbaki 12 peratus, manakala tanah kem askar di Sungai Besi, Forest City dan seumpamanya dijual kepada pihak asing.

“Penyalahgunaan kuasa juga berlaku sehingga wujudnya skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia iaitu skandal 1MDB. Tambahan pula, pihak berkuasa telah membongkarkan rampasan harta berupa barangan dan wang tunai yang besar bernilai hampir RM1 billion daripada beberapa pemimpin Umno,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Umno menerusi Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam, bahawa parti itu sudah kemukakan kepada Pas untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri antaranya di Pahang selain Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Menerangkan lebih lanjut mengenai kerajaan campuran itu, Dr Hamzah berkata, Pas pastinya tidak melupakan nasib yang menimpa Tabung Haji dan juga Felda yang merupakan aset besar orang Melayu yang telah disalahgunakan oleh pemimpin Umno.

“Apakah Pas tidak mengetahui semua ini? Mustahil mereka tidak tahu kerana perkara tersebut telah didedahkan oleh pihak berkuasa sendiri. Tentu mereka tahu.

“Kalau benar mereka (Pas) cintakan bangsa dan negara, mereka tidak seharusnya bekerjasama dengan Umno sebaliknya mereka wajib bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah sekarang.

“Andai kata mereka terus bekerjasama dengan Umno wujudkan kerajaan campuran, saya yakin ahli Pas akan bangkit membantah dengan cara mereka bersuara dalam muktamar atau mereka keluar dari parti,” katanya.

Hamzah yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Nasional berkata, bagi pihak Umno, tidak mungkin parti itu dan ahlinya akan melupakan isu kafir mengkafir yang telah mereka lalui sebelum ini.

Tambahan pula mereka (Umno) sudah melihat aksi pimpinan Pas sekarang ini yang begitu mudah menggunakan ‘pembohongan syarie’ untuk mengiyakan segala tindakan yang mereka lakukan.

“Saya percaya pimpinan dan ahli Umno tidak selesa dengan sikap pimpinan Pas yang bukan sahaja bertentangan dengan Islam malah tidak boleh diterima oleh agama-agama lain juga.

“Sudah tentu ahli Umno akan bertanya ‘ajaran Islam jenis apakah yang Pas bawa’ jika begini sikapnya yang amat bertentangan dengan Islam yang sebenar-benarnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan andainya Pas-Umno tetap bekerjasama, beliau merasakan ada sesuatu pemimpin Pas-Umno harapkan antara satu sama lain untuk kepentingan mereka yang bermasalah dan juga parti yang sedang menghadapi masalah akibat tangan mereka sendiri.