Malaysia Dateline

‘Kerajaan’ dalam Kerajaan?

Isu Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dituduh melakukan ‘salah laku seksual’ oleh bekas kakitangannya, hanya enam bulan selepas parti itu digegarkan skandal video seks yang mengaitkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali dilihat sebagai suatu perencanaan yang tersusun. Maksudnya kenapa tidak didedahkan awal tidak lama selepas kejadian, jika benar dakwaaan tersebut dan kenapa harus tunggu setahun.

Tuduhan terbaru ini dibuat oleh bekas penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 November yang tidak dapat disahkan secara bebas kesahihan dokumen tersebut.

Akuan bersumpah yang didakwa itu dikeluarkan sehari sebelum Kongres Nasional PKR di Melaka, mempunyai agenda tertentu pula.

Saya merasakan seolah-olah wujudnya “kerajaan” kecil dalam kerajaan. Di sebalik kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan halimunan sedang  bergerak mengarahkan sesuatu perkara untuk berlaku. Kenapa perkara sebegini berlaku? Apakah yang dimaksudkan “kerajaan” dalam kerajaan?

Biasanya pergantian kerajaan selalu menjanjikan harapan untuk perubahan masa depan negara. Gagasan “Malaysia Baharu” yang diusulkan oleh PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai panduan perubahan, dan menjadi agenda gerak kerja kabinet telah menjanjikan jutaan harapan bagi rakyat Malaysia sebagai satu perubahan cepat, segera, dan radikal di pelbagai bidang pentadbiran: penegakan undang-undang, penbasmian rasuah, menghentikan agenda kleptokrasi, pembangunan kualiti manusia, dan peningkatan kesejahteraan rakyat.

Akan tetapi, setiap perubahan menuntut “kekuasaan nyata”, iaitu pemimpin yang dituruti, diikuti, dan dipatuhi secara nyata, bukan sekadar simbolik. Kekuasaan seperti ini diharapkan mampu mewujudkan kedisiplinan, kepatuhan, dan kesetiaan terhadap autoriti kekuasaan sebagai syarat mutlak perubahan.

Namun apabila kekuasaan nyata ini tidak bekerja, perubahan akan bergerak seperti mainan yoyo naik turun naik turun dan keadaan terumbang ambing yang dapat membawa kepada situasi ketidakpastian, haru biru dan kacau bilau.

Ini yang yo-yonya sekarang, di mana kekuasaan nyata ini sekarang tidak begitu menyakinkan rakyat dengan isu-isu terkini seperti bendera lima bucu, abu mayat Chin Peng,  PH memperkenalkan mata pelajaran seni khat di sekolah rendah Tamil,  membiarkan pendakwah, Dr Zakir Naik yang dikatakan menghina agama Hindu dalam ucapannya malah menyoal kesetiaan mereka kepada negara.

Antara isu lain isu UEC, Artikel 153, Status Rom dan tekanan umum berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada November 2018 dan kehadiran aktivis hak asasi manusia yang pro-LGBT di Perarakan Hari Wanita di Kuala Lumpur.

Janji-janji PH pada PRU14 yang tidak dipenuhi terutamanya janji-janji untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol selain mewujudkan sejuta peluang pekerjaan baharu dan menambah bantuan sara hidup bagi golongan belia.

Maka berlakulah berbagai ketidakpatuhan, ketidakdisiplinan, keculasan dan ketidaktaatan diperlihatkan rakyat terutamanya di media sosial yang berlaku adalah degradasi kekuasaan tertinggi negara. Maka muncul “kekuasaan halimunan” atau “kerajaan” dalam kerajaan, yang meskipun tidak terlihat, tetapi mampu menunjukkan kesan kekuasaannya kepada perubahan yang ingin dilaksanakan kerajaan PH.

Dalam hubungan ini, kekuasaan sangat penting dalam setiap perubahan kerana perubahan perlu kekuatan pendorong, tenaga dan mesin penggerak. Makna kekuasaan paling luas adalah “potensi bagi perubahan”, iaitu kemampuan mencapai tujuan bersama, baik pada tingkat keluarga, kelompok, organisasi, lembaga keagamaan, industri, parti politik, rakyat dan negara.

Kekuasaan adalah “keupayaan’ untuk mengubah potensi menjadi kenyataan.  Kekuasaan “normal” dalam sistem demokrasi ditunjukkan oleh kemampuan autoriti kekuasaan merealisasikan segala potensi bagi perubahan, yang diperlihatkan pula oleh kedisiplinan, kepatuhan, dan ketaatan aparat-aparat negara yang terlibat di dalamnya, serta berfungsinya aparatus negara yang ada.

Dalam hal ini, “keupayaan” bagi perubahan ditunjukkan keberkesanannya melalui hubungan tiga unsur perubahan iaitu pemimpin tertinggi, aparat, dan aparatus. “Aparatus” adalah segala sesuatu yang memiliki keupayaan mengarahkan, menentukan, mengendalikan atau mengamankan perilaku, pandangan atau wacana yang berkaitan dengan perubahan.

Di antara aparatus ini adalah sekolah, mahkamah,  tempat ibadah, ruang awam, jabatan kerajaan, Putrajaya, pertahanan dan keselamatan, undang-undang dan penghakiman, bahkan tulisan, filsafat, karya seni, media, dan bahasa.

Aparatus adalah “kenderaan” di mana kekuasaan dimanifestasikan. Sejauhmanakah aparatus ini berfungsi dalam era PH ini?

Jika tidak berfungsi dengan teratur wujudlah yang dikenali sebagai situasi “kerajaan” dalam kerajaan, “anomali kekuasaan” iaitu penyimpangan dari hubungan  kekuasaan yang “normal”, ke arah yang “abnormal”.

Di sini ada keculasan atau penyelewengan kepada autoriti kekuasaan, ketika fungsi kekuasaan nyata diambil alih kekuatan-kekuataan halimunan, di mana ironisnya, para aparat negara justru patuh kepada kekuatan tidak nampak ini. Inilah yang dibimbangi berlaku.

Keadaan ini menyebabkan aparatus negara tidak berfungsi normal kerana dikerumi oleh kekuatan-kekuatan halimunan itu.

Dalam hubungan ini Menteri Luar, Saifuddin Abdullah mendakwa pentadbiran PH sedang disabotaj oleh elemen gelap ‘daulah terpendam’ bagi menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Kumpulan ini adalah “kerajaan” dalam kerajaan yang mampu mengetepikan keputusan dan kehendak kerajaan semasa; dan bertindak sebagai tangan-tangan ghaib bagi melaksanakan polisi dan agenda negara di luar proses pembuatan keputusan oleh kepimpinan kerajaan.

Saifudin mengelarkannya sebagai daulah terpendan iitu. Daulah terpendam ini ialah satu lagi kuasa yang lebih berkuasa dari kuasa daulah. Saya lebih suka mengenalinya sebagai “Kerajaan” [di] dalam kerajaan atau daulah terpendam (daripada Bahasa Turkiderin devlet melalui Bahasa Inggerisdeep state)

Berlaku situasi politik “kerajaan” dalam kerajaan  dalam sebuah negara apabila organ internalnya seperti angkatan bersenjatabadan perisikan atau sebarang penguasa awam  atau kakitangan kerajaan berpangkat pegawai tinggi, agensi pentadbiran, dan birokrasi pemerintah) menggerakkan tindakan mereka yang tampak tidak seiringan dengan pendirian pemerintahan negara tersebut.

Konsep ini juga merujuk pada syarikat korporat (baik yang dimiliki pemerintah atau swasta) yang bertindak secara de facto seumpama 1MDB memegang kuasa sah pemilik syarikat swasta, tanpa adanya pengawalseliaan, ketelusan atau kawalan kerajaan.

Mungkin “kerajaan” dalam kerajaan ini juga berlaku dalam pergelutan politik membabitkan pasukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pasukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim

Dalam kes video semburit, pergelutan ini memuncak apabila polis melakukan tangkapan ke atas beberapa orang kanan Anwar Ibrahim atas tuduhan mengedar video intim yang dikatakan ‘mirip’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin kemudiannya secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada Dr Mahathir supaya kekal menjadi Perdana Menteri sehingga penggal ini berakhir.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata daulah terpendam merupakan sebab utama mengapa pembaharuan institusi bagi Malaysia Baharu tidak dapat dilaksanakan dengan pantas sebagaimana yang diharapkan.

“Daulah terpendam ini akan menjadi bertambah buruk dan menjahanamkan jika orang ramai yakin bahawa kerajaan PH adalah bersifat sementara, sebagaimana yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, musnah dan hancur dalam masa beberapa bulan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu autoriti kekuasaan tidak saja harus ditunjukkan secara utuh, berkesatuan, konsisten dan berkelanjutan, tetapi juga tidak mengandungi unsur kekaburan, ambivalensi atau perasaan berbelah bagi dan pertentangan. Kekuasaan tidak mungkin mengandungi dua sifat bertentangan sekaligus iaitu berkuasa sekaligus tidak berkuasa, memerintah tetapi diperintah, melarang sekaligus menyuruh.

Ketulusan dan amanah adalah asas politik demokratik kerana ia merupakan akar dari keyakinan akan keupayaan, kecekapan dan kemampuan seorang elit politik. Oleh kerana itu di dalam politik ada semacam “politik keyakinan”, iaitu semacam vitaliti yang memberi optimisme kolektif kepada masyarakat politik akan kesanggupan dan keupayana sesebuah regim kekuasaan dalam mencapai tujuan atau cita-cita bersama rakyat, melalui autorit kekuasaan yang dimiliki.

Inilah yang sedang dialami PH sekarang, defisit janji tidak mencapai sasaran manifesto, banyak kerenah peraihan kuasa, masalah politik dalaman seperti PKR, masalah kekurangan kerusi parlimen seperti Bersatu.

Sebaliknya, “politik skeptisisme” menghilang keyakinan bahwa tujuan bersama tidak mungkin tercapai kerana aneka prasangka, benturan, konflik, ketidakharmonian, tiak selaras aparat dan institusi-insitusi politik yang tidak tidak mampu diselesaikan oleh  tampuk kekuasaan tertinggi.

Tidak berfungsinya autoriti tertinggi kekuasaan tampak dengan berleluasanya tindakan “kianat” kepada lembaga negara, seperti terdapatnya unsur penentangan dalam perkhidmatan awam terhadap kerajaan PH sejak ia memerintah 18 bulan lalu.

Perbahasan di sekitar jenis penentangan itu sama ada terancang dengan arahan yang teratur atau hanya kelompok kakitangan awam, yang tidak puas hati dan masih menyokong Barisan Nasional (BN), yang memang sengaja menentang kerajaan.

Adakah kakitangan awam ini melawan kerajaan kerana mereka yakin PH hanya akan jadi kerajaan sepenggal. Selebihnya, mereka merasakan tiada hala tuju kepimpinan daripada menteri serta tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara kerja menteri atau menteri yang kurang berpengalaman.

Isu pertukaran pegawai kanan kerajaan menjadi hangat selepas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jumaat lalu.

Pertukaran itu didakwa dibuat sehari selepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membangkitkan dakwaan mengenai penganugerahan kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara rundingan terus.

Susulan itu, wujud dakwaan bahawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, disabotaj oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya berhubung isu tender berkenaan.

Hampir 10 pegawai kanan kementerian didakwa disyaki membocorkan maklumat kerajaan dan perkara itu sudah dibangkitkan beberapa menteri dalam mesyuarat Kabinet.

Memetik sumber, laporan portal berkenaan menyebut ada beberapa menteri membuat permintaan agar ketua setiausaha kementerian (KSU) atau pegawai kanan masing-masing dipindahkan.

Ia membabitkan sekurang-kurangnya lapan kementerian iaitu MOTAC, Kementerian Pertanian dan Asas Tani; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Laporan itu menyebut, kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) dinyatakan sebagai antara punca berlaku kegiatan sabotaj dalam kalangan kakitangan awam.

Anomali kekuasaan dan ketidakmampuan menunjukkan kekuasaan nyata oleh pemimpin tertinggi, dikhawatirkan akan menyebabkan meningkatkan dan meluasnya sikap skeptisisme dan menumpuknya ketidakpercayaan rakyat kepada autoriti kekuasaan, yang pada gilirannya dapat mengancam kelanjutan rezim pemerintah.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikas, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.