Malaysia Dateline

Kerajaan dalam proses merangka RUU hak dan kebajikan pekerja dalam negara

Kerajaan dalam proses merangka semula beberapa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) yang melibatkan hak dan kebajikan pekerja swasta di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, beberapa mesyuarat sedang dilaksanakan bersama pihak-pihak tertentu yang membincangkan undang-undang termasuk pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

“Kita memang dalam merangka membuat pindaan kepada beberapa undang-undang, terutama akta yang berkaitan dengan kebajikan pekerja. Tapi pindaan tersebut belum dimuktamadkan dan akan diberitahu kemudian.

“Undang-Undang pekerja dari segi soal keselamatan contohnya. Kita dalam proses untuk berbincang dengan semua pihak untuk memastikan supaya satu kata sepakat dapat dicapai.

“Ini supaya kita dapat mencapai maksud ‘win-win situation’ sama ada antara pekerja, majikan dan juga kerajaan sendiri. Tapi bila akan dibentangkan di parlimen, belum tahu lagi,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tambahnya, sehingga kini kerajaan lebih banyak menjadi orang tengah melalui Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dalam memastikan sebarang bentuk pertikaian, perbezaan pendapat dan pandangan antara majikan dan pekerja diambilkira.

“Melalui majlis tersebut, Kita akan sedia mendengar pendapat dan pandangan daripada wakil majikan dan wakil kesatuan pekerja supaya kita dapat merumuskan yang terbaik untuk memastikan kepentingan semua pihak dapat di berikan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa kerajaan mengkaji semula dengan mempertimbangkan beberapa cadangan melibatkan hak dan kebajikan pekerja swasta negara ini untuk dimasukkan dalam Akta Kerja 1955.

Semalam, Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon turut meminta kerajaan mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelas beliau, MTUC akan mengemukakan cadangan pindaan yang komprehensif untuk ketiga-tiga akta tersebut dalam usaha menambah baik kebajikan pekerja dan membela nasib golongan itu.

Katanya, undang-undang buruh di negara ini sudah lapuk kerana kebanyakannya digubal sekitar tahun 50an dan 60an dengan hanya beberapa pindaan terhad yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini yang memerintah negara.