Malaysia Dateline

Kerajaan dalam usaha pulihkan hutang, turunkan harga barang, kata Tun M

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini di landasan tepat dalam menguruskan pentadbiran negara dengan usaha-usaha menangani hutang negara dan menurunkan harga barang sedang dilakukan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, bagaimanapun semua usaha itu mengambil masa untuk dijayakan dan dilaksanakan kerana PH baru tujuh bulan menerajui pentadbiran negara.

“Hutang kita sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran pun dibersih dan dipulih semula. Malangnya rakyat, terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Kita sedang usaha menurunkan harga barang, tetapi ini akan mengambil masa sedikit. InsyaAllah kos sara hidup akan turun,” katanya dalam ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kedua parti itu di sini malam ini.

Turut hadir presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun pada persidangan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu. Juga hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Darell Leiking, penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir.

Dr Mahathir berkata pemerintahan negara dan keadaan ekonomi negara kini juga berada di tahap yang baik dan ia penting untuk membawa ketenangan dan kestabilan kepada rakyat dan pelabur.

Menurutnya kerajaan PH tidak boleh membelanjakan wang sewenang-wenangnya termasuk memberi duit percuma kepada rakyat dan sebaliknya perlu membayar hutang pentadbiran terdahulu bagi mengelakkan negara daripada muflis.

“Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan tidak mampu. Sebahagian yang tidak kecil dari pendapatan kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi. Jika hutang tidak dibayar maka kita boleh menjadi muflis – bankrap.

“Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Tidak akan ada wang sedikit pun untuk bantu rakyat. Inilah malapetaka yang dibawa oleh kerajaan dahulu,” katanya.

Menyentuh mengenai peluang bekerja dalam kerajaan dan swasta, Dr Mahathir berkata diskriminasi terhadap wanita akan dihapuskan sebaliknya lebih banyak peluang akan diberikan kepada mereka.

Beliau berkata kaum wanita mampu berjaya jika diberi peluang kerana kaum wanita lebih serius dan berjaya dari kaum lelaki, malah ada yang sudah bergelar jutawan di dalam bidang perniagaan, dan sehubungan itu ?lebih banyak peluang, latihan dan pelajaran akan diberikan.

“Ada antara mereka yang sudah jadi jutawan hanya dengan membuat keropok lekor, tudung dan alat kecantikan wanita. Oleh itu kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak juga kepada kaum wanita termasuk di kampung. Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka,” katanya.

Selain golongan wanita, Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan memberikan layanan istimewa kepada generasi muda khasnya di dalam sektor pertanian dan perniagaan, baik sebagai tenaga upahan atau sebagai usahawan dengan menggunakan dan memanfaatkan teknologi-teknologi baharu.

“Hakikatnya ialah yang sudah dewasa sukar untuk menerima cara-cara dan teknologi baru. Sebaliknya yang muda lebih mudah dibentuk dan disemai dengan cara-cara baru. Ramai dari generasi muda lebih terlatih dan berpelajaran. Pengalaman mereka mungkin kurang. Tetapi ini boleh diatasi dengan pendedahan kepada kerja sebagai pekerja upahan,” katanya.

Belaiu menarik perhatian, bidang pertanian dan perniagaan penting kerana negara amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing walaupun barangan ini sebenarnya boleh dihasilkan dan dikeluarkan di sini.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang bermula semalam hingga esok itu adalah yang pertama diadakan selepas PH menerajui kepimpinan negara susulan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.

Lebih 3,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan1,550 perwakilan mewakili bahagian-bahagian dari seluruh negara, serta 800 daripada sayap Srikandi dan 800 sayap Armada pada perhimpunan masing-masing yang diadakan kelmarin dan semalam.

— BERNAMA