Malaysia Dateline

Kerajaan dan rakyat diseru perkukuhkan ekonomi negara, elak isu perkauman

Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap mereka yang mencetuskan dan menyemarakkan api perkauman supaya usaha Pakatan Harapan (PH) membina Malaysia bersih tidak terganggu ketika kedudukan ekonomi negara bertambah baik hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Muhammad Faiz Fadzil berkata, kemajuan dan kemakmuran negara hanya boleh dicapai dengan penyatuan rakyat negara ini.

Muhammad Faiz Fadzil

Beliau berkata, ketika  kedudukan ekonomi Malaysia pada suku kedua (April-Jun) 2019 telah menyaksikan pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh lima suku tahun, malah telah melebihi jangkaan konsensus pakar-pakar ekonomi.

“Syabas diucapkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan atas kejayaan ini sungguhpun ekonomi negara masih dihimpit impak perang dagangan Amerika-China, pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin perlahan dan ketidakstabilan geopolitik global.

“Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat sebanyak 4.9% pada 2019 iaitu melebihi kadar 4.5% pada suku pertama 2019 dan suku kedua 2018. Pertumbuhan ini telah disokong oleh prestasi baik semua sektor ekonomi, perbelanjaan isirumah yang lebih tinggi dan peningkatan kadar pertumbuhan pelaburan swasta.

“Apa yang lebih mengagumkan adalah kadar pertumbuhan ekonomi negara telah meningkat pada ketika beberapa negara lain di rantau ini mengalami pertumbuhan yang semakin perlahan. Ekonomi terbesar Asia Tenggara, Indonesia, telah mencatatkan pertumbuhan 5.05% pada 2Q19 iaitu kadar paling rendah dalam 2 tahun.

“Singapura pula hanya berkembang 0.1% pada 2Q19 iaitu kadar terendah dalam satu dekad. Manakala, ekonomi Filipina telah meningkat 5.5% di mana kadar ini adalah terendah dalam 4 tahun,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi usaha kerajaan mengurangkan mengurangkan beban hutang negara juga sedang membuahkan hasil di mana kadar hutang dan liabiliti Malaysia berbanding KDNK telah jatuh kepada 75.4% pada tahun 2018. Pada tahun 2017, kadar ini adalah lebih tinggi iaitu 79.3%.

“Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hutang pada awal tahun ini akan memainkan peranan penting untuk terus mengurangkan kadar hutang berbanding KDNK supaya generasi muda tidak terbeban dengan hutang negara.

“Projek-projek mega yang diteruskan dengan kos yang lebih rendah termasuk ECRL, LRT 3 dan Bandar Malaysia pula mampu memangkin ekonomi negara yang mewujudkan ‘multiplier effect’ dalam menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk merangsang ekonomi rakyat,” ujarnya.

Justeru, Faiz berkata, sewajarnya rakyat Malaysia terutama golongan muda diharapkan dapat memberikan tumpuan dan menggembleng tenaga ke arah memperkukuhkan ekonomi negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan makmur.

“Usah membazirkan masa dan tenaga dalam isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan boleh mencetuskan perbalahan antara rakyat berbilang kaum dan agama.

“Hak setiap kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan haruslah dihormati. Setiap rakyat negara ini berhak dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” tegasnya lagi.