Malaysia Dateline

Kerajaan dapat RM48 juta wang bapa Jho Low

Wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Mahkamah Tinggi membenarkan untuk melucut wang berkenaan selepas ianya dirampas dari tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan lucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinaz Shabudin memberitahu mahkamah, tiada pihak ketiga hadir bagi mencabar pelucutan hak berkenaan.

“Hari ini ditetapkan untuk hujahan pihak ketiga bagi mencabar permohonan lucut hak, tetapi tiada pihak yang tampil berbuat demikian,” katanya.

Pada 29 Mac 2018, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Hock Peng dengan mendakwa ia adalah hasil kegiatan pengubahan wang haram.

Wang yang dirampas termasuk tujuh akaun daripada bank RHB dan Maybank Berhad (MBB) masing-masing di KLCC, Kuala Lumpur dan Plaza Gurney, Pulau Pinang.

Harta terbabit adalah wang berjumlah RM20,784,952.56 dengan faedah dalam akaun semasa atas nama Hock Peng (responden) di RHB yang disita pada 11 Disember 2018.

Turut disita empat lagi akaun RHB masing-masing berserta faedah, wang berjumlah RM300,000, RM500,000 dan RM20 juta.

Bagi akaun MBB jumlah terbabit termasuk faedah ialah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95.

Kesemua akaun itu adalah akaun simpanan tetap dan semasa yang disita pada Disember 2018 dan 31 Januari 2019.

Hingga kini, pihak berkuasa dilaporkan masih berusaha mengesan Larry Low, isterinya Goh Gaik Ewe dan Jho Low untuk membantu siasatan kes membabitkan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.