Malaysia Dateline

Kerajaan derhaka belakangi titah Agong, Ahli Dewan Negara kesal sidang ditangguh

Ahli-Ahli Dewan Negara meyerahkan memorandum kepada Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah di luar kawasan bangunan Parlimen pagi tadi.

Sekumpulan Ahli Dewan Negara menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa Parlimen bersidang bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat berkaitan.

Sekretariat Senator Pakatan Harapan (PH) Plus dalam kenyataan sebentar tadi menegaskan pembatalan Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat oleh pihak kerajaan secara tidak telus dan tanpa melalui kedua-dua dewan dan mendapat perkenan Agong adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Ketuanya, Senator Raj Munni Sabu berpendapat Dewan Negara adalah selamat untuk bersidang memandangkan sebahagian besar Ahli Parlimen dan kakitangan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Kami juga ingin menyatakan kekesalan kami apabila persidangan Dewan Negara yang dijadualkan bersidang pada 3 hingga 5 Ogos telah ditangguhkan dengan notis pendek tanpa mengikut peraturan mesyuarat Dewan Negara yang betul.

“Kami juga dimaklumkan bahawa hampir semua Ahli Parlimen termasuk Ahli Dewan Negara dan kakitangan telah menerima dua dos vaksin yang melayakkan imuniti kelompok (herd immunity) dicapai di kawasan Parlimen,” jelasnya.

Sidang Mesyuarat Khas Dewan Negara ditangguhkan walaupun hampir semua Senator dan kakitangan telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Beliau juga menegaskan pendirian mereka untuk tidak bersetuju dengan sikap derhaka yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan yang membelakangi Titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja.

“Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Kenyataan bersama Sekretariat Senator PH Plus itu disertai Senator Datuk Theodore Doughlas dan Senator Ismail Yusop masing-masing merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Turut bersama 13 Ahli Dewan Negara iaitu Dr Yaakob Sapari, Datuk Donald Peter Mojuntin, Datuk Husam Musa, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Manolan Mohamad, Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid, Dr Ahmad Azam Hamzah, Lim Hui Ying, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Andrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.

Terdahulu, beliau dan sekumpulan Ahli Dewan Negara mengadakan sidang media di laluan utama ke bangunan Parlimen yang dikawal ketat ramasi anggota polis.

Untuk rekod, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memberitahu lebih 95 peratus Ahli Parlimen sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 35 yang lain sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos, sementara empat Ahli Parlimen belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara kelmarin memaklumkan supaya persidangan mesyuarat khas bagi Dewan Negara ditangguhkan susulan kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan Parlimen dan Ahli Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan pandemik tersebut.

Sekretariat Senator PH Plus menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa agar Parlimen bersidang.