Malaysia Dateline

Kerajaan dicadang hantar pulang mahasiswa secara berperingkat

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan memulakan misi menghantar pulang mahasiswa secara berperingkat di seluruh negara.

Katanya, beliau percaya kerajaan boleh melaksanakan perkara tersebut dengan melakukan saringan yang betul serta mengikut SOP perubatan sebelum menghantar mereka pulang.

“Sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) para mahasiswa telah diletakkan di kampus masing-masing dan banyak bantuan telah disalurkan. Ini adalah perkembangan yang baik kepada kebajikan pelajar.

“Kini, negara kita sudah hampir memasuki Fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan misi menghantar pulang mahasiswa secara berperingkat di seluruh negara,” kata beliau menerusi Facebooknya semalam.

Kata beliau, kerajaan juga perlu menyediakan pengangkutan khas untuk pelajar pulang tanpa mengakibatkan penularan kes Covid-19.

Perkara tersebut ujarnya, boleh dibuat bersama pihak IPT, syarikat-syarikat penerbangan dan juga syarikat-syarikat bas awam dan Ahli Parlimen serta Adun juga wajib bantu dalam misi ini.

Kata beliau lagi, dalam urusan ini kerajaan harus menilai tiga perkara iaitu:

1. Prioriti utama adalah isu kesihatan dan keselamatan. Pelajar wajib melalui saringan yang betuk dan mengikut prosedur kesihatan KKM sebelum dihantar pulang.

2. Misi pulang harus dilakukan secara berperingkat dengan pengangkutan khas, bukan kenderaan individu.

3. KPT perlu mengemaskini dan memaklumkan status terkini dengan segera kepada pelajar dan ibu bapa berkenaan kebajikan dan prosedur pulang ke rumah.

“Maka, besarlah harapan saya agar pihak kerajaan dapat membantu mahasiswa tempatan kita untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Dalam isu yang sama Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menurut laporan media, menggesa kerajaaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa pulang mahasiswa ke kampung susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui gesaan itu, KMUM mencadangkan KPT dan MKN bekerjasama dengan universiti-universiti khususnya Universiti Malaya (UM) agar dapat mempertimbangkan perlaksanaan usaha membantu mahasiswa pulang ke kampung mereka.