Kerajaan didakwa ‘ganggu’ pemimpin GPS

Kerajaan  didakwa ‘ganggu’ pemimpin GPS

Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan(PH)didakwa telah ‘mengganggu’ pemimpin -pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan menghantar notis taksiran cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan,Datuk Abdul Karim Hamzah pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak di Kuching pada Khamis

Beliau berkata, ramai pemimpin GPS telah menerima notis berkenaan sejak Kerajaan PH mengambil alih sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Ramai dalam pemimpin GPS menerima notis daripada LHDN termasuk saya sendiri.

“Bagaimanapun, saya menyelesaikannya sendiri…tiada masalah kerana saya bukan jenis yang tidak membayar cukai mungkin ada tertinggal di sana sini dan ia merupakan risiko pekerjaan terutamanya sebagai wakil rakyat.

“Oleh demikian, kami perlu bersedia menghadapi hal seperti ini, ” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyokong tindakan Speaker Dun,Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH-Kota Sentosa untuk berhenti berbahas pada Persidangan Dun kali ini.

Tambahnya, Chong telah melabelkan Belanjawan Negeri 2020 sebagai belanjawan ‘hot air’ adalah sesuatu yang tidak tepat dan betul.

Katanya lagi, Speaker mempunyai kuasa dan hak untuk menghentikannya mengikut Perintah Tetap Dun.

“Speaker mempunyai kuasa yang besar, bukan sahaja menghentikan kamu dari berucap tetapi keluar dewan jika kamu melanggar Perintah Tetap sedia ada,” tegas beliau.

Terdahulu, Speaker Dun menghentikan Chong terus membahas Belanjawan Negeri 2020 apabila kenyataannya mengatakan belanjawan itu sebagai ‘hot air’ menyebabkan dewan kecoh.

Chong turut menyamakan Belanjawan Negeri 2020 seperti skandal 1MDB yang menyebabkan negara menanggung beban hutang yang banyak.