Kerajaan didakwa tiada bajet  bina asrama pelajar maahad tahfiz

Kerajaan didakwa tiada bajet bina asrama pelajar maahad tahfiz

Amir Hashim Yot

Pengurusan Maahad Tahfiz Al Quran Dakwatul Hidayah, Kampung Sedak, Padang Matsirat, Langkawi terpaksa berputih mata apabila permohonan untuk membina asrama menempatkan 20 pelajar miskin, muallaf, asnaf dan anak yatim ditolak oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan ( ICU) di Jabatan Perdana Menteri  dengan alasan tiada peruntukan.

Penyelaras sumbangan dana Maahad Tahfiz, Amir Hashim Yot berkata, amat mendukacitakan apabila Unit Penyelarasan Pelaksanaan ( ICU) di Jabatan Perdana Menteri  turut tidak dapat menimbangkan permohonan sejak tahun 2017 yang lalu atas alasan tiada peruntukan.

“Sekiranya ICU pun tidak dapat membantu dengan alasan tidak mempunyai peruntukan, maka kemana lagi hala tuju kami untuk mendapatkan bantuan tersebut, sedangkan Maahad ini berdaftar sepenuhnya dengan kerajaan.

“Pihak pengurusan turut menemui Menteri Besar Kedah bagi mendapatkan bantuan tersebut sejak tahun lalu, tetapi hampa, tiada langsung berita yang kami terima sehinggalah menjelangnya pilihan raya kini.

“Melalui bajet 2018 yang diumumkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu turut menyatakan Kedah selaku Hab Pengajian Pondok dan Maahad Tahfiz tindakan proaktif akan diambil oleh kerajaan negeri menerusi pengurusan, pemantapan kurikulum dan juga kebajikan, “ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta melalui bajet Persekutuan 2018 bagi menaiktaraf sistem pendawaian serta prasarana pondok dan Maahad Tahfiz seluruh negara.

Justeru itu tambahnya, sudah sepatutnya Maahad Tahfiz Al Quran Dakwatul Hidayah mendapat peruntukan dan bantuan bagi membina asrama yang termasuk dalam prasarana bagi kebajikan para pelajar dari terus menumpang di surau sedia ada.

Saad Salleh

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Maahad Tahfiz Saad Salleh, berkata, kesemua pelajar  yang berusia antara tujuh hingga enam belas tahun disediakan segala kemudahan termasuk makan dan minum secara percuma dan tidak dikenakan apa-apa yuran bulanan dan tahunan.

“Maahad Tahfiz ini berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah serta menurut segala prosidur yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagi memberi keselesaan kepada para pelajar yang semakin meningkat, maka pihak pengurusan telah pun menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah untuk mendapat bantuan, sebaliknya ia hanya sepi tanpa berita, ” ujarnya.

Beliau juga berkata, oleh kerana ketiadaan asrama, maka para pelajar telah ditempatkan sementara di surau kampung tersebut sejak dua tahun yang lalu.

Saad menunjukkan tapak pembinaan asrama diatas petak sawah yang telah disediakan.

Jelasnya lagi Majlis Agama Islam Negeri Kedah telah pun memberikan keizinan untuk membina bangunan asrama atas tanah tersebut dengan syarat kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh Maahad Tahfiz.

Manakala usaha turut dijalankan dengan mencari jalan bagi menambah dana yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.5 juta termasuk prasarana dan pelbagai keperluan.

Orang ramai  dirayu untuk menghulur sumbangan bagi pembinaan asrama boleh disalurkan melalui akaun Bank Rakyat bernombor 11-027-100065-1 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Dakwatul HIdayah atau menghubungi beliau di nombor yang tertera: 013-4437095.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS