Malaysia Dateline

Kerajaan didesak bentang kelemahan BN yang cuai dapatkan hak Pulau Batu Puteh

Bekas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini ditempelak berikutan kenyataannya sebelum ini yang menuding jari ke arah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu Pulau Batu Puteh.

Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Sr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya mendesak agar kerajaan membentangkan kelemahan yang berlaku ketika sebutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008.

AMANAH Johor beranggapan, tindakan bekas MB Johor itu yang menuding jari ke arah PH adalah bermotifkan politik bagi menutup isu sebenar yang disebabkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional ketika itu dalam menguruskan serta berunding dengan pelbagai pihak yang mampu mendapatkan semula hak pulau berkenaan.

“Berhubung dengan kenyataan berkenaan dengan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca oleh Khaled Nordin yang menuding jari ke arah pihak PH, AMANAH Johor  mendesak agar pihak kerajaan bersikap telus kepada rakyat dengan membentangkan sebarang kelemahan dan kecuaian ketika menuntut hak pulau tersebut semasa sebutan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008.

“Kelemahan dan kecuaian kerajaan BN pada masa itulah sebenarnya yang telah menyumbang kepada kegagalan kerajaan Malaysia dalam mempertahankan hak tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh di hadapan ICJ yang akhirnya terlepas kepada Singapura.

“Apa yang berlaku pada tahun 2018 semasa pemerintahan PH adalah merupakan proses di peringkat semakan semula penghakiman ke atas keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008. Peruntukan semakan semula penghakiman ini diperuntukan di bawah Perkara 61, Statue ICJ.

“Tindakan Mohamed Khaled cuba mempolitikan isu Pulau Batu Puteh ini amat dikesali kerana isu ini adalah berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara serta negeri Johor itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dalam kenyataannya memaklumkan bahawa PH perlu bersikap telus dan menjelaskan keputusan tidak meneruskan semakan kehakiman Pulau Batu Puteh semasa pentadbiran gabungan itu selama 22 bulan sebelum ini.

Menurutnya, rakyat wajar tahu sama ada terdapat elemen kecuaian dan membelakangkan kepentingan nasional berhubung keputusan tersebut.