Malaysia Dateline

Kerajaan didesak bentang segera RUU Gangguan Seksual

Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang telah tertangguh sekian lama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun wajar berbuat demikian dalam sidang Parlimen akan datang untuk dibahas dan diluluskan agar orang awam khususnya wanita dan gadis akan berasa lebih selamat dan dilindungi.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, mereka menegaskan gangguan seksual terhadap seorang wanita oleh seorang pegawai polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta baru-baru ini adalah amat dikesali.

“Kerajaan wajar mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus mengenai kepekaan gender kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa dari semasa ke semasa agar insiden seperti ini tidak lagi berulang,” kata Wan Azizah dan Hannah.

Untuk rekod, kedua-dua pemimpin PKR dan DAP itu masing-masing bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri.

“Gangguan seksual berupa perkataan lucah sudah cukup untuk membuatkan wanita tersebut merasa tidak selesa, marah juga ketakutan sehingga memandu kereta dalam keadaan yang masih trauma dan tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain dari kecederaan emosi dan mental yang baru beliau lalui.

“Kami mahu kejadiaan ini diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak yang bertanggunjawab khususnya PDRM kerana kejadian ini melibatkan seorang pegawai polis,” kata mereka lagi.