Malaysia Dateline

Kerajaan didesak hentikan sikap SOP berubah-ubah

Kerajaan hari ini didesak agar menghentikan sikap mengadakan SOP secara berubah-ubah.

Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Norhayati Bidin berkata sikap kerajaan itu banyak mengelirukan rakyat.

Tegasnya, rakyat tidak boleh dihukum sekiranya SOP yang ditetapkan kerajaan sentiasa berubah mengikut menteri mana yang bersuara.

“Kita lihat dalam isu Ismail Sabri dan Anuar Musa yang menetapkan SOP berjoging di tapak awam, seorang kata boleh dan seorang lagi kata tak boleh.

“Apa yang berlaku sebenarnya? Kita sebagai rakyat akan pening dan perkara ini penting bagi pengetahuan rakyat jika tidak rakyat akan dihukum.

“Perlu tetapkan hanya satu saja SOP tak perlu ada pandangan kedua dan ketiga. Jangan nampak lemah dalam mengurus SOP yang ditetapkan,” tegasnya.

Beliau turut mendakwa bahawa ia adalah gambaran kerajaan yang lemah dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sudah nak hampir setahun isu PKP ini melanda negara takkanlah tak boleh belajar dengan pengalaman sebelum ini.

“Ini gambaran kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin. Cuma apa yang kita desak adalah untuk tidak mengeluarkan SOP yang berubah-ubah sehingga membuatkan rakyat pening untuk patuh,” tegasnya lagi.