Kerajaan didesak pandang serius kemelut dalaman  pengurusan tertinggi FGV, FTP

Kerajaan didesak pandang serius kemelut dalaman pengurusan tertinggi FGV, FTP

Mazlan Aliman

Majlis Muafakat NGO Felda mendesak kerajaan Pakatan Harapan mengambil serius mengenai kemelut dalaman pengurusan tertinggi Felda Global Venture (FGV) dan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) yang dipercayai boleh menjejaskan masa depan peneroka dan kemajuan Felda dimasa akan datang di negara ini.

Pengerusinya Mazlan Aliman mendakwa, berlaku kemelut dalaman membabitkan Pengerusi FGV Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad.

Katanya dalam situasi FGV yang tidak menentu dan harga saham yang rendah sekitar RM1.51, kemelut dua pimpinan tinggi FGV itu pasti akan memburukkan lagi keadaan warga Felda.

“Kita tidak mahu lihat berlaku lagi krisis seperti dahulu yang membabitkan Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad.

“Kami memohon kedua-dua  tokoh  (Zakaria dan Azhar)  tertinggi FGV ini menyelesaikan isu antara mereka berdua secara baik,” ujarnya tanpa mendedahkan terperinci kemelut melanda dua pimpinan tertinggi FGV itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Muafakat NGO Felda ini dianggotai bersama enam lagi NGO juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Datuk Khor Chin Pey,78, sebagai Pengerusi FTP baharu  untuk mengantikan Datuk Zulkfli Abdu Waha yang telah megundang kontroversi dikalangan warga Felda.

Beliau berkata Muafakat NGO Felda sebelum ini telah membuat bantahan dalaman kepada pengurusan tertinggi Felda mengenai cadangan pelantikan Khor, namun dakwa Mazlan, ia tidak diendahkan.

“Apa alasan pelantikan Datuk Khor sedangkan begitu ramai pengurus kanan perladangan Felda yang boleh dilantik?

“FTP sendiri dipersoalkan kemampuannya menguruskan kebun peneroka, kedudukan dana
yang kritikal hingga dicadangkan agar dibubarkan FTP.”Dengan pelantikan Datuk Khor beliau telah menjadi mangsa sentimen perkauman dikalangan warga Felda. Ia sewajarnya dibendung dari awal jika tidak mahu suasana bertambah buruk. Sensitiviti perkauman seperti ini haruslah dijaga oleh kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau juga berkata langkah pertama warga Felda menubuhkan Majlis Muafakat NGO Felda itu, selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan untuk memperkasakan semua NGO berkaitan Felda.

Beliau berkata beberapa pertemuan sudahpun berlaku dengan pimpinan tertinggi FGV dan FTP termasuk bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali untuk memberikan pandangan berkaitan Felda daripada Majlis Muafakat NGO Felda tetapi semuanya diketepikan begitu sahaja, dakwanya.

“Kita berikan pandangan ke atas isu berbangkit kepada mereka. Isu besar mengenai pengurusan penyelenggaran ladang tidak diurus dengan baik. Bila timbul ura-ura Datuk Khor dan beberapa nama barisan ahli lembaga pengarah yang akan dilantik, kita menentangnya.

“Daripada sudut kemampuan, terdapat calon lain yang lebih berpengalaman dan dilihat lebih bersedia membantu Felda buat masa ini.

“Ini kerana barisan pengarah yang ada, sebenarnya tidak lagi relevan untuk menerajui Felda, malangnya pandangan kita tidak diendahkan,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, sekiranya kerajaan gagal campurtangan dalam desakan Majlis Muafakat NGO Felda perkara ini, akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau desakan kepada kerajaan Pakatan Harapan ini tidak berjaya, kita akan bertemu perdana menteri dalam masa terdekat.

“Kita ada cadangan yang saya fikir cadangan itu nanti akan memberi implikasi besar,” ujarnya tanpa mahu mengulas lebih lanjut implikasi dimaksudkan itu.

Ditanya sama ada pelantikan Khor dan Azhar itu sebelum ini tidak mendapat ‘pengesahan’ daripada perdana menteri, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi sendiri.

“Saya suka nak menekankan di sini, peranan NGO Felda jangan disampingkan kita mewakili akar umbi lebih setengah juta pengikut.

“Sebarang isu sejak pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah tidak pernah berbincang dengan kami.Peranan kami seolah-olah tidak bermakna pada mereka,” ujarnya.

 

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES