Malaysia Dateline

Kerajaan didesak protes kekejaman Israel, tunjuk solidariti dengan Palestin

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mendesak Malaysia untuk segera menarik diri dari Ekspo Dubai yang disertai Israel sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata, Malaysia mesti membuat pendirian tegas dan protes ke atas kekejaman Israel yang menyebabkan konflik berdarah di Palestin dan perlu segera memboikot Ekspo Dubai.

Tegasnya, kenyataan-kenyataan lemah dan cakap kosong mendakwa menyokong Palestin sewajarnya diganti dengan tindakan tegas dan keras seperti mengarahkan Duta Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melobi negara Arab untuk membantu Palestin.

“Nyawa rakyat Palestin adalah jauh lebih penting dari kepentingan perniagaan.

“Apa yang mengecewakan, kerajaan “Melayu Islam- Perikatan Nasional” hanya mampu mengeluarkan satu kenyataan media yang cukup lemah dalam isu ini jika dibandingkan dengan respon keras sewaktu era pentadbiran Tun Mahathir pada tahun 80an hingga 90an.

“Perkara ini amat mengecewakan dan menyedihkan apatah lagi kerajaan hari ini mendakwa diri mereka sebagai kerajaan Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul berkata, desakan Malaysia menarik diri dari Ekspo Dubai telah pun diutarakan sejak tahun lalu namun tidak dipedulikan oleh kerajaan, bahkan mereka bertindak menaikkan satu papan iklan besar mempromosikan Ekspo terbabit

Tegas Senator Dewan Negara itu lagi, kerajaan Malaysia tidak seharusnya hanya mengeluarkan kenyataan media sebaliknya mengambil tindakan segera sebagai tanda sokongan penuh kepada rakyat Palestin.

“Sekarang adalah masa untuk bertindak dan bukan terus menerus beretorik kosong.

“Actions speaks louder than words,” katanya.