Malaysia Dateline

Kerajaan didesak sebar lebih banyak kesedaran, tangani anti vaksin di Kelantan

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan mendesak kerajaan untuk terus memberikan penerangan yang benar tentang kepentingan vaksin termasuk kepada remaja sebagai ikhtiar menangani isu rakyat di negeri itu yang tidak mahu mengambil vaksin Covid-19.

Dr Rohani Ismail

Naib Ketuanya, Dr Rohani Ismail berkata demikian dengan memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin yang memaklumkan seramai 27,000 rakyat di negeri itu mengisytiharkan tidak mahu menerima suntikan vaksin dan daripada jumlah tersebut, 9,000 merupakan individu anti vaksin.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan terus memberikan penerangan melalui penggerak akar umbi di samping menyekat penyebaran berita yang menakutkan orang ramai.

“Tindakan tegas mesti dikenakan terhadap mereka yang terbukti bersalah menyebarkan berita palsu.

“Kita juga mahu pihak berkuasa kerajaan terus menggiatkan langkah FITTIS-V iaitu cari, uji, kesan, asing, sokong dan vaksinasi sebagai usaha ampuh menurunkan kes jangkitan yang masih empat angka di negeri ini.

“AWAN Kelantan menyeru rakyat tetap mengamalkan gaya hidup sihat dan SOP norma baharu dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak dan sering mencuci tangan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohani yang juga Pengerusi Biro Kesihatan AWAN Kelantan, turut menasihatkan agar ibu bapa mengambil kesempatan menyertai program vaksinasi anak-anak remaja 12 hingga 17 tahun yang sedang dijalankan sekarang agar rakyat segera dapat keluar daripada pandemik dan meneruskan kehidupan.