Malaysia Dateline

Kerajaan didesak warta klinik kesihatan sebagai pusat pemberian vaksin

DAP mendesak kerajaan untuk mewartakan semua klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan vaksinasi mudah diakses dan mampu dimiliki semua rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, setakat hari ini, hanya 382 PPV sahaja yang dibuka di seluruh negara dengan 11 di Pulau Pinang dan 29 di Sabah, yang mana ianya jelas tidak mencukupi untuk kedua-dua negeri tersebut.

Disebabkan itu katanya, Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) bergerak dalam kadar perlahan dengan 2.4 juta orang menerima dos pertama atau 7.5 peratus penduduk; manakala hanya 1.13 juta mendapat vaksinasi penuh 2 dos atau sekitar 3.5 peratus penduduk.

“Bagaimana 382 PPV dapat memberikan vaksin kepada 80 peratus daripada 32.75 juta penduduk di negara ini, termasuk bukan warganegara?

“PICK tergendala akibat kelewatan tempahan bekalan vaksin oleh kerajaan Perikatan Nasional dan juga penundaan penghantaran, yang menyebabkan kadar vaksinasi menjadi rendah.

“Jumlah PPV yang kecil tidak akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi seperti yang boleh dilihat daripada jumlah dos harian yang diberikan pada enam hari pertama dalam bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, sekiranya kerajaan terus mengekalkan kadar kurang dari 100,000 dos setiap hari, tidak mungkin Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.

Jelasnya, menjadikan klinik kesihatan sebagau PPV akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar.

Ini kerana katanya, banyak yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka.