Malaysia Dateline

Kerajaan digesa banteras pencerobohan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut

Aktivis alam sekitar menggesa kerajaan supaya serius membanteras pencerobohan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut di Langkawi.

Penyelaras Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, penerokaan dan pemusnahan kawasan hutan paya bakau apatah lagi jika diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) tidak harus dipandang sebelah mata.

Menurutnya, pencerobohan, penerokaan dan pemusnahaan sesuatu kawasan hutan paya bakau tanpa kebenaran dan kewajaran akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan ekologi persekitaran.

“Salah satu fungsi habitat hutan paya bakau ialah sebagai zon pelindung semulajadi daripada kuasa fizikal alam seperti ombak, arus dan ribut taufan serta mencegah dan mengurangkan kadar hakisan pantai,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi menceroboh rizab hutan paya bakau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH Ahad hari ini yang mendedahkan majoriti daripada lebih 800 kediaman penduduk berasal dari Myanmar dibina di atas kawasan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut.

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, hal itu juga serius dan membimbangkan jika sesuatu kawasan dalam negara ini ‘dikuasai’ atau seolah-olah menjadi ‘wilayah’ dan penempatan majoriti warganegara asing apatah lagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Semakin lama isu penempatan warga asing tersebut dibiarkan, dibimbangi juga akan menimbulkan gejala dan isu negatif lain seperti gejala sosial dan konflik dengan masyarakat tempatan.

“Timbul juga nanti isu perancangan dan guna tanah, persepsi pelancong terutama pelancong asing dan imej Pulau Langkawi sebagai salah-satu kawasan pelancongan yang telah dikenali di Malaysia,” tambahnya lagi.

BH Ahad turut melaporkan penempatan Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah mendapat ‘perlindungan’ sehingga ada dalam kalangan penduduknya berdaftar sebagai pengundi.