Malaysia Dateline

Kerajaan digesa bantu kanak-kanak Rohingya dapat pendidikan dalam negara

Kerajaan digesa supaya lebih prihatin dan membantu kanak-kanak pelarian Rohingya dan pelarian yang lain dengan memberikan akses pendidikan yang sewajarnya.

Gesaan tersebut dibuat oleh Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan beliau.

Menurutnya, kenyataan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin, bahawa menerusi Pusat Bimbingan Alternatif (PBA) kanak-kanak pelarian boleh mendapat akses pendidikan amatlah dialu-alukan.

“Adalah disarankan lebih baik mereka dibenarkan menggunakan kurikulum negara ini serta mendapat pendidikan formal di sekolah kebangsaan.

“Paling tidak PBA diwujudkan khas dengan bantuan UN dan OIC bagi kanak-kanak tersebut mendapat pendidikan yang sempurna.

“Kami menyeru agar Majlis Keselamatan Negara, Arahan No. 23 yang menyatakan bahawa pemegang kad UNCHR adalah berstatus pendatang asing tanpa izin(PATI) serta mencadangkan arahan tersebut disemak semula supaya aspek pendidikan diberi pethatian serius kerana ia merupakan keperluan universal kepada semua kanak-kanak fiseluruh dunia, ” ujar beliau.

Tambah Mohd Azmi lagi, akses pendidikan PBA kepada kanak-kanak Rohingya yang diberikan oleh kerajaan pada tahun 2016 amatlah disokong dan disambut dengan baik.

Malah kata beliau lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun menyediakan garis panduan penubuhan dan pendaftaran PBA.

Oleh itu tegasnya, adalah diharapkan kanak-kanak pelarian tersebut akan mendapat pendidikan yang berkualiti.

Tidak dapat dinafikan usaha pelbagai NGO membantu persekolahan dan pendidikan kanak-kanak pelarian tersebut agak terbatas.

“Setakat ini kami menganggarkan tidak kurang dari 30,000 kanak-kanak pelarian berusia yang layak bersekolah tidak mendapat peluang pendidikan dalam negara ini.

“Mereka yang berusia antara empat hingga lima belas tahun tidak berpeluang mendapat akses pendidikan formal samada di institusi pendidikan kerajaan maupun swasta,” katanya.

Beliau turut berkata, akses kepada pendidikan adalah hak asasi manusia yang telah pun diiktiraf oleh antarabangsa serta Malaysia seharusnya mencari jalan agar pendidikan berkualiti dapat diberi kepada kanak-kanak pelarian.

Ia juga berkata, walaupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 berkenaan status pelarian, akan tetapi menyantuni keperluan asas dibawah Undang-Undang Antarabangsa Kastomori atau Customary International Law masih perlu diperakui.

Sehubungan itu tegasnya, implikasi sosial akan diterima masyarakat tempatan sekiranya kanak-kanak pelarian terus diabai dan tidak mendapat pendidikan.