Malaysia Dateline

Kerajaan digesa bentang perancangan SOP benarkan rakyat rentas negeri

Pemuda AMANAH Nasional mendesak agar kerajaan menyemak semula keputusan dan membuat pertimbangan sewajarnya untuk memberi kebenaran rentas negeri kepada rakyat yang memenuhi syarat.

Ketuanya Muhamad Taquiddin Cheman berkata, setidak-tidaknya kerajaan hendaklah membentangkan perancangan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dikenakan bagi membolehkan rakyat bergerak merentas negeri.

Beliau turut mempersoalkan apakah ada perbezaan dalam penetapan gelembung pelancongan Langkawi dengan pergerakan merentas ke negeri lain?

“Sekiranya kebenaran merentas negeri tidak dibenarkan pada waktu terdekat, rakyat berhak untuk mengetahui apakah pelan yang dibuat oleh kerajaan bagi membenarkan rakyat bergerak merentas negeri selepas 8 bulan arahan larangan tersebut dikuatkuasakan,” kata beliau.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata kebenaran merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Taquiddin berkata, kerajaan wajar memberi kelonggaran yang bersesuaian kepada rakyat yang telah lengkap divaksin dan menyediakan SOP lebih awal supaya rakyat dapat bersedia untuk mematuhi SOP yang digariskan.

Beliau tidak menolak kes kematian yang berpunca daripada tekanan perasaan akibat tidak dapat bertemu keluarga, kesempitan hidup dan kemurungan melampau yang berlaku sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran.

“Pihak kerajaan mesti mengambil langkah pro aktif supaya insiden sedemikian tidak lagi berulang.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini Hishamuddin masih tidak boleh memberi kata putus terhadap kebenaran rentas negeri dan kelonggaran itu perlu diperhalusi dalam masa terdekat.

Hishamuddin berkata, peralihan ke fasa endemik ini sudah tentu perbincangan turut merangkumi soal kelonggaran rentas negeri .

“Lagipun sudah ada aktiviti-aktiviti tertentu untuk rentas negeri seperti Langkawi dan juga kelonggaran suami isteri yang berjauhan serta ibu bapa boleh berjumpa anak-anak,” katanya.