Malaysia Dateline

Kerajaan digesa beri tumpuan vaksinasi di Selangor, KL

Kerajaan negeri Selangor menggesa Putrajaya memberi keutamaan kepada penduduk di Lembah Kelang untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal tersebut penting bagi memastikan imuniti kelompok tercapai.

“Kerajaan negeri Selangor memohon pihak MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk memberi keutamaan (program vaksinasi) kepada kita.

“Kami percaya kalau 80 peratus rakyat di negeri Selangor sudah divaksin, secara tidak langsung membantu negeri lain dalam mengekang penularan wabak itu memandangkan sebahagian penduduk di Selangor bergerak ke negeri-negeri lain.

“Kita mesti memberi tumpuan vaksinasi kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur. Tapi ini tidak berlaku pada masa sekarang,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu berkata, program vaksinasi di Selangor setakat ini hanya 3.3 peratus daripada populasi penduduk.

“Angka (peratus vaksinasi) ini lebih rendah dari Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Pahang dan Perlis,” katanya.

Untuk rekod, laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan vaksinasi di negeri dan wilayah terbabit antara 5.2 peratus iaitu di Melaka hingga 17.97 peratus di Labuan.

PICK bermula pada 24 Februari lalu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, disusuli dos kedua pada 17 Mac lalu.

Dr Siti Mariah dan Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) selaku Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dalam sidang media tengah hari tadi.