Malaysia Dateline

Kerajaan digesa dedah lokasi peserta himpunan tabligh

Kerajaan digesa untuk segera mendedahkan lokasi terkini peserta yang pernah berhimpun dalam himpunan tabligh di Masjis Jamek Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin Shah, berkata, pemakluman berkenaan adalah penting supaya mereka yang berada di kawasan berkenaan boleh mengambil langkah berjaga-jaga dalam pergaulan komuniti di kawasan tersebut.

Namun katanya, sehingga kini kerajaan belum menyatakan pecahan pusat atau kampung peserta tabligh yang terlibat agar masyarakat tempatan lebih berwaspada di tempat atau Masjid mereka.

“Ini bukanlah tindakan bertanggungjawab dari kerajaan. Rakyat berhak tahu risiko jangkitan di tempat mereka sendiri.

“Kita perlukan pemimpin yang boleh ‘anticipate, not react’ iaitu yang boleh merancang kehadapan, bukan yang hanya bertindak balas, apabila sudah terlambat.

“Di Terengganu sahaja, pusat kuarantin telah di sediakan berdekatan kawasan kumpulan besar peserta tabligh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menegaskan agar kerajaan bertindak lebih telus dan ‘transparent’ kepada rakyat dalam menghadapi ancaman Covid 19 ini.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan, bagaimana sehingga 15,000 peserta dibenarkan berhimpun tanpa pemantauan rapi yang akhirnya mengundang masalah keselamatan besar.

Menurutnya lagi, langkah berjaga-jaga seharusnya dikenakan segera tetapi malangnya tidak berlaku biarpun setelah diketahui jangkitan pertama dari peserta tabligh tersebut.

Malah dengan apa yang berlaku hari ini, beliau berkata, rakyat berhak menuntut maklumat penuh untuk melindungi diri mereka sendiri sebelum keadaan menjadi lebih buruk di saat kerajaan terlihat kurang yakin dan tidak mempunyai kordinasi tindakan yang efisyen.

Raja Kamarul turut mengkritik sikap kerajaan yang tidak melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari lima negeri Pakatan Harapan (PH) sewaktu mesyuarat penyelarasan perintah kawalan pergerakan pada semalam yang disifatkannya hanya merumitkan keadaan.

Beberapa jam sebelum kuatkuasa perintah larangan pergerakan di Malaysia, balai balai polis seluruh negara juga dibanjiri orang yang ingin memohon kebenaran keluar negeri berkenaan.

“Ini bermakna pergerakan besar-besaran akan berlaku yang tidak menepati matlamat asal sekatan perjalanan untuk membendung merebaknya jangkitan Covid-19,” katanya.