Kerajaan digesa iktiraf kerakyatan 131,180 kanak-kanak bukan warganegara

Kerajaan digesa iktiraf kerakyatan 131,180 kanak-kanak bukan warganegara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan taraf kewarganegaraan membabitkan seramai 131,180 kanak-kanak bagi pasangan warga asing yang tinggal di negara ini.

Beliau berkata, terdapat kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini masih lagi tidak mendapat taraf kerakyatan kerana bapa warganegara tidak mendaftarkan perkahwinan dengan pasangan warga asing sebelum kanak-kanak itu dilahirkan.

Teo Nie Ching mendakwa, tindakan kerajaan enggan memberikan taraf kewarganegara terhadap kanak-kanak ini melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa “setiap orang yang dilahirkan di dalam Persekutuan yang mana salah seorang ibu atau bapa pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau permastautin secara tetap di Persekutuan adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.

“Ini jelas menunjukkan tidak ada mana-mana peruntukan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa perkahwinan seorang ibu bapa kanak-kanak mesti didaftarkan secara rasmi untuk kelayakan kerakyatan,” terangnya.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen semalam mengulas jawaban bertulis menteri dalam negeri pada 17 Mei lalu, di antara 2011 dan April 2016, seramai 131,810 anak yang lahir di Malaysia telah didaftarkan sebagai ‘bukan warganegara’.

Ini kerana bapa warganegara tidak mendaftarkan perkahwinan dengan pasangan warga asing sebelum kelahiran kanak-kanak tersebut.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP ini juga menegaskan, jika dengan mudah kementerian dalam negeri boleh memberikan kerakyatan kepada isteri bekas Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud dan kepada 47,232 lagi warga asing mengapa tidak boleh memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak yang tiada kenegaraan ini di Malaysia?

Tambah beliau lagi, tanpa diiktiraf sebagai warganegara kanak-kanak ini akan menghadapi masa depan yang gelap dalam bidang pendidikan dan pekerjaan kelak.

” Kanak-kanak yang tidak ada kenegaraan ini akan mengalami kesusahan dan kesulitan untuk masuk ke sekolah rendah dan menengah serta ke universiti seterusnya di bidang pekerjaan.

“Jika di sekolah mereka tidak dapat skim pinjaman buku teks dan jika mahu ke universiti mereka terpaksa bayar yuran dalam kadar pelajar asing dan tidak dapat untuk memohon PTPTN (Pinjaman Tabung Pendiditkan Tinggi Nasional).

“Apatah lagi mulai 1 Januari tahun hadapan kerajaan akan mengenakan caj perubatan penuh kepada bukan warganegara. Mereka juga tidak boleh memohon pasport Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kanak-kanak ini tidak boleh menjadi mangsa kerana kealpaan dan kecuaian ibu bapa mereka mematuhi undang-undang negara.

“Jangan biarkan kanak-kanak ini menjadi mangsa kecuaian ibu bapa mereka.

“Jika kerajaan boleh memberikan kerakyatan kepada warga asing antaranya dari Indonesia (199,935 orang); India (5,228) dan Kemboja (2,387) mengapa tidak boleh memberikan taraf kewarganegaraan kepada kanak-kanak ini atas prinsip kemanusiaan?” soalnya.

 

TAGS