Malaysia Dateline

Mengapa 1MDB setuju selesai tuntutan IPIC di mahkamah antarabangsa?

Ulasan: Saya terpanggil untuk beri sedikit komen tentang kes timbangtara di London di antara syarikat daripada Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company ( IPIC ) dan Aabar Investment PJS Ltd ke atas 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ) di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Kenapa saya nak komen? Sebab kes ini, bagi saya, adalah manifestasi penyelesaian ( settlement ) yang paling tidak cerdik dan tidak menguntungkan sama sekali.

Kenapa? Sebab menurut laporan NST bertarikh 1/8/2016, kawan baik saya, YB Menteri Kewangan Kedua dilaporkan berkata 1MDB akan lawan kes itu dan tak akan bayar tuntutan IPIC itu.

Beliau juga dilaporkan berkata “Kami mahu jumpa mereka ( IPIC dan Aabar ) di Mahkamah. Biar Penimbangtara lihat dokumen kami.”

Beliau juga dilaporkan berkata ” semua pelaburan kami dijamin oleh IPIC…kami nak lawan ( kes ini ) dan kami mahu menang…saya amat yakin kepada kesudahan yang positif. Kami ambil pendirian yang kami tak akan bayar faedah (bunga/riba).Kami tak sepatutnya bayar.Kami mesti menang kes ini.”

Itu dulu lah. Tiba-tiba, kes itu diselesaikan di luar Mahkamah. Dan 1MDB setuju pula untuk bayar dan telah pun bayar bayaran pertama sebanyak US$602.75 juta ( RM2.58 bilion ) pada sekitar bulan Ogos tahun ini. Semalam, dilaporkan di Malaysiakini yang bayaran kedua juga dalam jumlah yang sama iaitu US$602 juta mungkin akan dibayar oleh IMDB pada atau sebelum 31.12.2017 ini.

Untuk imbasan kembali, menurut Menteri yang sama di atas, pertikaian kes ini berkaitan dengan IPIC yang tidak mengakui Aabar Investment PJS Ltd yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British ( the British Virgin Islands-Registered ) ( BVI ) adalah sebahagian daripada entiti dalam Kumpulan Syarikat mereka.

Dilaporkan juga oleh media yang sebelum ini, 1MDB telah dikatakan “membayar” atau “menghantar” jumlah wang sebanyak US$3.5 bilion kepada Aabar BVI tapi IPIC menafikan ada menerima bayaran tersebut.

Menurut Menteri, pada perkiraan dan rekod Kementerian Kewangan, Aabar Investment BVI-registered adalah milik IPIC. Menteri juga dilaporkan berkata pengarah-pengarah syarikat-syarikat itu juga adalah kedua-duanya merupakan pegawai tertinggi IPIC tetapi dengan tiba-tiba , kata Menteri, IPIC kata syarikat tu bukan milik mereka.

Pada hemat saya, saya rasa berkemungkinan Menteri itu jujur.Jika apa yang Menteri kata itu adalah benar, memang tidak sepatutnya dan tidak sewajar sama sekali kes ini diselesaikan apatah lagi diselesaikab dengan terma-terma yang tidak menguntungkan iaitu 1MDB dan juga Kementerian Kewangan sendiri setuju untuk membayar kepada IPIC.

Jika benar apa yang dikatakan oleh Menteri itu, memamg sewajarnya jika Kementerian Kewangan sebelum ini mengambil pendirian tidak mahu bayar dan bersedia untuk melawan habis-habisan kes itu hingga menang. Sebab apa? Kerana, bagi saya, amat jelas dan nyata, 1MDB mempunyai satu pembelaan yang bermerit jika dakwaan Menteri itu benar dan sahih.

11. Sebab itu, bagi saya, bila dengan tiba-tiba 1MDB dan Kementerian Kewangan bersetuju selesaikan kes ini di luar Mahkamah dan setuju pula untuk membayar kepada IPIC dan telah pun membayar bayaran pertama pada jumlah US$602.725 juta ( RM2.58 bilion ) dan berkemungkinan akan membayar sekali lagi jumlah yang sama sebelum 31.12 tahun ini, ia menimbulkan pelbagai persoalan yang sah iaitu :-

a. Kenapakah IMDB dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk selesaikan kes ini tanpa melawan habis-habisan di Mahkamah Timbangtara itu ?.

b. Kenapa dengan tiba-tiba pendirian Kerajaan MO1 berubah sekelip mata- drp nak lawan dan yakin boleh menang kepada tidak mahu melawan dan menyerah kalah dengan begitu mudah ?.

c. Jika benar IMDB telah dikatakan membayar US$3.5 bilion kepada Aabar Investment Ltd BVI sebelum ini dan penuh yakin bahawa bayaran itu dibuat dengan betul dan suci hati kepada anak syarikat IPIC yang betul dan tulen, kenapakah IMDB tidak mahu mengheret sekali pihak yang bertanggungjawab membayar dan menerima bayaran itu sebagai pihak ketiga dalam tuntutan itu atau sebagai Defendan bersama (a co-defendant) bagi menuntut indemniti?

d. Kegagalan 1MDB mengheret pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam kes itu menimbulkan syak wasangka dan persoalan , adakah benar dan sahih bayaran US$3.5 bilion itu memang telah sebenarnya dibayar dan jika benar telah dibayar apa sudah jadi dengan wang itu? Hangus atau macam mana? Dan apakah usaha yang telah dilakukan bagi mendapatkan semula wang berjumlah US$3.5 bilion itu?

Saya rasa pihak MO1, Kerajaan dan 1MDB sendiri berhutang dengan rakyat di negara ini untuk menjelaskan persoalan-persoalan di atas.

*Penulis Mohamed Hanipa Maidin adalah Ahli Parlimen Sepang