Malaysia Dateline

Kerajaan digesa kaji data, tarik larangan jika tiada kluster sukan dan riadah

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menggesa kerajaan untuk menggunakan data sejarah MySejahtera yang lalu untuk mengenal pasti berapa banyak kluster yang wujud disebabkan aktiviti sukan.

Ini berikutan keputusan kerajaan yang menggantung buat sementara segala aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ong berkata, sekiranya jumlah kluster tidak besar, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera membatalkan larangan berjoging dan bersenam di luar rumah, serta membenarkan gim dan pawagam dibuka semula dengan SOP yang ketat.

“Analisis yang sama juga harus dilakukan untuk aktiviti ekonomi lain seperti makan di restoran.

“Sekiranya terdapat beberapa restoran dan kedai yang menjadi punca kluster Covid-19, maka tempat-tempat ini harus disiasat dan ditutup sementara jika SOP tidak dipatuhi dengan ketat.

“Tidak masuk akal untuk memiliki pendekatan “satu ukuran cukup untuk semua” ketika data MySejahtera sudah tersedia untuk pihak berwajib dan sistem pengesanan lokasi panas telah dikembangkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan penggantungan semua aktiviti sukan dan rekreasi termasuk di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Katanya, pertimbangan dan keputusan itu dibuat berdasarkan kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa.