Malaysia Dateline

Kerajaan digesa kaji semula keputusan kelonggaran PKP

Pengamal bidang pengurusan risiko hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan hampir semua perniagaan beroperasi sepenuhnya pada 4 Mei ini.

Ini berikutan keputusan itu boleh mengundang risiko tinggi jika ia terbukti gagal dikawal atau dipantau secara konsisten.

Menurut laporan Bernama, Prof. Datuk Dr Mohd Rasid Hussin yang juga Presiden Institut Antarabangsa Pengurusan Risiko dan Strategi Krisis (IIRMACS) iaitu sebuah rangkaian kumpulan pemikir global bidang itu, menyifatkan keputusan membuka semula perniagaan sebagai tergesa-gesa kerana PKP Fasa 4 masih dijalankan sehingga 12 Mei ini.

“Saya tidak melihat sebarang rasional untuk kerajaan bertindak sedemikian. Tidak wujud sebarang (keperluan) untuk tergesa-gesa dan sepatutnya dilakukan secara beransur-ansur agar orang ramai serta pihak berkepentingan yang relevan lebih bersedia,” katanya kepada Bernama.

Kata beliau, tindakan tergesa-gesa ini sebaliknya boleh mencetuskan risiko tinggi dan berpotensi menjadi krisis kepada negara.

Beliau menjelaskan, prinsip pengurusan risiko yang penting dan perlu diambil kira adalah mengambil kira pertimbangan aspek kepentingan ekonomi dan keselamatan awam.

Mohd Rasid turut merujuk Jepun, Kanada dan Singapura yang disifatkan beliau memandang ringan kemungkinan risiko yang timbul dan akibatnya terpaksa menanggung kesannya apabila pandemik COVID-19 berulang lagi.

Di Malaysia, katanya, semua usaha akan menjadi sia-sia jika gelombang baharu berlaku walaupun kerajaan telah terbukti cemerlang dalam usaha mengawal pandemik itu sejak 18 Mac lepas.

“Sekiranya tempoh 4 Mei dan seterusnya kita gagal membendung penularan itu, ini pasti menyedihkan terutamanya untuk kalangan petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras dan cemerlang sejak hari pertama lagi,” katanya.

Mohd Rasid juga meminta kerajaan agar tidak tunduk dengan sebarang tekanan daripada pihak berkepentingan tertentu dan sebaliknya mengutamakan risiko kesihatan dan potensi berlaku krisis baharu.

Malah, keselamatan dan kebajikan rakyat perlu dipentingkan dan tidak harus wujud sebarang kompromi demi manfaat kumpulan majoriti tersebut.

“Negara mahu pun rakyat masih berisiko terhadapnya. Kita perlu mengamalkan pengurusan risiko menerusi pelaksanaan langkah-langkah pengurusan dan mengurangkan risiko.

“Selama ini kita banyak bergantung kepada penjarakan sosial bagi membendung penularan COVID-19 walaupun masih banyak yang tidak mengamalkannya. Oleh itu, kita bimbang bagaimana impaknya apabila PKP dilonggarkan,” katanya menurut laporan itu.

Menurutnya, sewaktu pandemik Selesama Sepanyol pada 1918, ramai yang bergegas untuk menyambung semula rutin kehidupan yang pada akhirnya meragut 20 juta sehingga 50 juta nyawa pada gelombang kedua berbanding 3-5 juta orang dalam gelombang pertama.

Katanya, sekiranya keputusan kelonggaran PKP tidak dipertimbangkan, kerajaan perlu terus bersedia dengan langlah-langkah kawalan bagi mengelak peningkatan kes baharu COVID-19, termasuk menggerakkan semua jentera dan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau rapat pelaksanaan PKP dengan tumpuan serius terhadap pengurusan data bagi menangani risiko secara berkesan.

Mohd Rasid juga menggesa kerajaan untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), entiti pengurusan risiko yang relevan selain menjalankan libat urus dan berkomunikasi secara aktif dengan pakar, sarjana dan pengamal industri.