Malaysia Dateline

Kerajaan digesa kaji semula pendaftaran badan bekas tentera

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah hari ini mencadangkan kerajaan, khususnya Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), agar mengkaji semula status pendaftaran badan-badan bekas tentera mengikut Akta Veteran 2012.

Yang Dipertua PVATM Sabah, Marshid Mohd Salleh berkata ia bertujuan untuk menjadikan semua badan bekas tentera diletak di bawah naungan PVATM.

Menurut Marshid, sejak akta itu diluluskan (Akta Veteran 2012), sebanyak 141 persatuan dan kelab khusus untuk bekas tentera telah diwujudkan dengan matlamat dan tujuan yang sama.

“Jika terlalu banyak persatuan yang mempunyai matlamat yang sama, ia sudah tentu menimbulkan kekeliruan khususnya mengenai hal ehwal pentadbiran.

“Di Malaysia, keahlian kita (veteran tentera) sudah mencecah seramai 163,355 orang… bukan mudah untuk mengurus ahli yang begitu ramai dan tambahan pula menjadi ahli kepada persatuan dan kelab yang berlainan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Keningau pada Selasa.

Marshid berkata sudah sampai waktu yang tepat bagi kerajaan khususnya JHEV untuk mengambil kira pandangan itu dari sudut positif.

“Kita mencadangkan dan terpulang kepada kerajaan untuk menilai,” katanya dan menasihatkan ahli-ahli persatuan itu supaya mempergiatkan aktiviti untuk mendekati masyarakat.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ihsan kepada dua pesara tentera, Halidin Jinoh Timbangan (Keningau) dan Ag Saibon Ag Bakar (Sipitang) yang menghidap penyakit diabetes.

Sebelum itu, Marshid merasmikan mesyuarat persatuan itu di Sipitang yang dihadiri seramai 100 ahli.- BERNAMA