Kerajaan digesa kaji sistem perdagangan, hapuskan lesen import sayuran

Oleh MALAYSIADATELINE

Rafizi Ramli Kerajaan digesa mengkaji semula keseluruhan sistem perdagangan dengan menghapuskan lesen import (AP) ke atas barang makanan keperluan utama seperti sayur-sayuran bagi mengurangkan kadar inflasi negara.

Kenaikan mendadak terhadap tiga kumpulan perbelanjaan terbesar membabitkan makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan seperti dilapor Jabatan Perangkaan baru-baru ini mencecah 4.5% adalah kadar tertinggi di luar kegawatan ekonomi sejak 1998.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berpendapat paling mengejutkan adalah kekurangan sayur yang meruncing penyebab negara bergantung kepada import sayur-sayuran.

“Kaedah mengawal kenaikan kos pengangkutan ialah dengan mengembalikan subsidi mengikut penggunaan yang tepat dengan kumpulan sasaran mengikut kedudukan ekonomi.

“Ramai yang masih tertanya-tanya punca dan penyelesaian kepada kenaikan harga barang makanan yang mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Selain kerana proses untuk mengimport barang makanan memerlukan lesen mengimport dan tertakluk kepada kuota tertentu kepada hanya segelintir peniaga yang dibenarkan mengimport, ini mendorong kepada pembekalan barang makanan tertentu yang dikawal oleh segelintir peniaga sahaja,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengambil contoh harga kobis bulat melonjak sehingga 29.7% dalam Februari 2017 berbanding setahun lalu.

“Saya menyemak berita-berita mengenai kobis bulat dan mendapati Kobis bulat memang memerlukan lesen mengimport seperti yang dinyatakan di laman myTradelink iaitu laman rasmi Kerajaan untuk memudahcara perdagangan

” Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa kenaikan harga mendadak barang makanan dan sayuran seperti kobis bulat (yang berlaku dalam bulan Februari 2017) sebenarnya adalah satu bukti kegagalan pentadbiran dan pengurusan ekonomi Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Adalah tidak masuk akal bagaimana Malaysia yang kaya dengan sumber alam, iklim yang baik dan kepelbagaian sumber lain tidak dapat menanam sayur-sayuran yang mencukupi bagi kegunaan penduduknya yang sedikit sehingga terpaksa mengimport.

“Menariknya, ada satu penerangan yang diberikan oleh pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan sendiri yang jelas mengaitkan kelemahan ini dengan dasar-dasar ekonomi Najib,” ujarnya.

Rafizi  merujuk kepada kenyataan yang pernah dibuat oleh Pengarah Kanan Fama dalam satu temubual media berkaitan dengan kenaikan harga sayur-sayuran terutama kobis bulat.

Kenyataan itu menyebebut Cukai Barangan dan Perkhidata (GST) menyebabkan harga sayuran (dan kos pengeluaran sayur tempatan) meningkat, lalu perusahaan sayur dilihat tidak menguntungkan sehingga berlaku kekurangan bekalan sayur tempatan dan perlu ditambah dengan import sayur

Pada masa yang sama, disebutkan nilai Ringgit yang lemah menyebabkan import sayur menjadi lebih mahal sehinggakan kobis yang pada satu ketika berharga 90 sen sekilo, kini berharga RM3 sekilo.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR ini bercadang akan mengusulkan supaya Pakatan Harapan merombak kembali sistem perdagangan makanan dengan tujuan menghapuskan monopoli segelintir peniaga utama diangkat menjadi dasar rasmi Pakatan Harapan sekiranya berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya ke-14 akan datang.