Malaysia Dateline

Wan Azizah Wan Ismail

Kerajaan digesa keluarkan Kertas Putih skandal dana 1MDB

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, fakta-fakta daripada kerajaan itu harus menjawab segala kemusykilan rakyat yang timbul ekoran jumlah dana 1MDB yang didakwa diseleweng telah mencecah hampir AS$4.47 bilion (RM19.15 bilion) mengikut dokumen mahkamah.

Menurutnya, reaksi menteri bahawa segala dakwaan DoJ kononnya bermotif politik atau campur tangan asing tidak mencukupi untuk menangkis segala persoalan yang didedahkan.

“Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan laporan siasatan daripada institusi-institusi siasatan negara melalui Kertas Putih di Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau yang turut disertai ahli parlimen Amanah, DAP, PSM dan Warisan serta wakil PPBM juga mendesak seluruh agensi berwajib seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka kembali kertas siasatan.

“Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya sembilan negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun, kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia.

“Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini.

“Tumpuan harus diberikan untuk membersihkan nama negara dan menyelesaikan kemelut melanda yang diakibatkan oleh skandal penyelewengan 1MDB,” tegas mereka.

Sehubungan itu, satu Jawatan Kuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action Committee) yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap isu 1MDB akan diwujudkan.

Pihak pembangkang juga akan membuat laporan bersama kepada SPRM serta BNM bagi menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula.

Turut bakal dilakukan siri jelajah penerangan terkini isu skandal penyelewengan dana 1MDB ke seluruh negara dengan dimulakan di Dewan JKKK Penaga, Kepala Batas pada 6 Julai ini dan diakhiri perhimpunan rakyat pada September.

“Kami juga menyeru kesemua parti pembangkang mengenepikan segala perbezaan dan berkerjasama serta bersatu tenaga untuk membawa mereka yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan,” katanya.

Saman ketiga DoJ kali ini antara lain menyatakan tentang sumbangan yang patut dipulangkan semula oleh Malaysian Official 1 (MO1) kepada putera Arab Saudi (kini “Saudi Account”) telah diguna untuk membeli barangan kemas untuk isteri MO1 termasuk kalung berlian 22 karat berwarna merah jambu.