Malaysia Dateline

Kerajaan digesa kemukakan langkah rangsangan ekonomi untuk peniaga kecil

Kerajaan digesa untuk mengemukakan langkah rangsangan ekonomi khusus kepada nasib peniaga kecil-kecilan yang terpaksa menutup perniagaan mereka sepanjang tempoh 14 hari perintah kawalan pergerakan berlaku.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, berkata, dengan inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang mengumumkan bantuan RM20 juta bagi peniaga kecil yang terjejas, kerajaan Persekutuan juga seharusnya mengetengahkan insentif untuk meringankan beban golongan terbabit.

Ini kerana katanya, dengan arahan penutupan premis perniagaan selama dua minggu, operasi para peniaga dijangka terkesan teruk dengan menyaksikan penurunan kadar pembeli yang akhirnya akan menjejaskan aliran tunai para peniaga.

“Namun, langkah-langkah rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac, tidak memberi tumpuan khas kepada kumpulan perniagaan ini.

“Ada juga langkah-langkah yang secara jelas tidak mencukupi seperti diskaun dua peratus bil elektrik kepada semua pengguna tenaga komersial.

“Tindakan kerajaan persekutuan yang seakan-akan mengabaikan perniagaan skala kecil tampak cukup berbeza dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudah mengumumkan pelannya untuk menyuntik dana RM20 juta bagi membantu para penjaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Tambahnya lagi, adalah penting untuk kerajaan menjamin kelangsungan operasi peniaga kecil-kecilan oleh kerana mereka mewakili 98 peratus perniagaan di Malaysia dan memberi peluang pekerjaan kepada 70 peratus tenaga kerja dalam negara.

Malah menurutnya, krisis ekonomi dan peningkatan kadar pengangguran negara juga akan meningkat sekiranya peniaga terpaksa menghentikan operasi atau gulung tikar tanpa bantuan kerajaan.

Dalam pada itu, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, antara langkah yang boleh diperkenalkan bagi membantu para peniaga adalah pinjaman jangka pendek tanpa faedah untuk menyelesaikan masalah aliran tunai peniaga kecil-kecilan dan PKS.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pemberian subsidi kos tetap seperti sewa premis kepada perniagaan yang layak.

“Misalnya, 50 peratus sewa bulanan pemilik gerai makanan berdaftar boleh ditampung oleh kerajaan untuk tempoh sebulan atau dua, sebagai langkah merangsang ekonomi tempatan.

“Bantuan kewangan khas secara tunai seharusnya juga diberikan kepada peniaga kecil yang bergantung hidup kepada jualan harian setelah kehilangan pendapatan untuk tempoh 2 minggu ini.

“Ini adalah masa untuk kerajaan berbelanja bagi memulihkan sentimen ekonomi tempatan. Usah terlalu fokus kepada kadar defisit fiskal sehingga mengabaikan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19,” katanya.