Malaysia Dateline

Kerajaan digesa latih semula pekerja bank diberhentikan

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan perlu menyediakan pelan bagi berhadapan dengan golongan pekerja bank yang bakal terjejas akibat penutupan cawangan dan khidmat perbankan runcit.

Timbalan Presiden AMANAH itu berpendapat hasil kajian bahawa hampir 600 cawangan bank dijangka tutup dalam tempoh 10 tahun perlu diambil serius oleh pihak kerajaan.

“Adakah kerajaan bersedia menangani pengangguran ekoran penutupan 600 cawangan bank nanti? Apa strategi latihan semula untuk pekerja terbabit?” soalnya dalam ciapan di Twitter.

Kelmarin, The Edge Markets melaporkan berlaku penyusutan cawangan bank sebanyak 18 peratus iaitu lebih daripada 11,000 cawangan bank di Asia Tenggara ditutup menjelang 2030 mengikut hasil kajian Ronald Berger.

Firma perunding terkemuka itu melalui kajiannya bertajuk “Branching out: The future of retail banking networks” juga memaklumkan penutupan cawangan perbankan runcit dijangka berlaku di enam pasaran, termasuk Malaysia.

Jelas Ronald Berger, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Dalam hal berkaitan, Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE) baru-baru ini telah menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membela pekerja bank yang bakal terjejas.

Tegas NUBE, BNM dan Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab memastikan bank terbabit menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja secara tersusun supaya pekerjaan mereka terjamin dalam hala tuju baru bank.