Malaysia Dateline

Teresa Kok Akta 164

Kerajaan digesa pantau kebajikan pekerja Malaysia terkandas di Singapura

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan pasukan petugas khas dari pelbagai kementerian untuk memantau kebajikan rakyat Malaysia di Singapura ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Beliau berkata, ribuan rakyat Malaysia terkandas di negara itu berada dalam keadaan sangat teruk, tanpa sebarang pendapatan dan tempat tinggal yang sewajarnya.

Katanya, peningkatan kes Covid-19 yang meningkat di Singapura sebanyak 1,426 kes pada semalam, menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia di sana, terutama pekerja kolar biru dalam sektor tidak penting yang diarahkan ditutup.

“Saya diberitahu bahawa mereka ragu-ragu untuk kembali ke Malaysia kerana bimbang mereka tidak dapat kembali ke Singapura, sehingga meletakkan mereka dalam situasi serba salah.

“Masalahnya ini bukan disebabkan oleh mereka. Mereka tidak dapat menyelesaikannya oleh kerana sekatan pelepasan yang berlaku disebabkan wabak tersebut.

“Menurut laporan berita di South China Morning Post pada semalam (20 April), pekerja-pekerja ini juga diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji dan dilarang menjalankan perniagaan sambilan sementara menunggu keadaan kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa agar pekerja-pekerja ini untuk tinggal di Singapura oleh kerana bimbang kepulangan mereka akan melonjakan kes Covid-19 di Malaysia.

Bagi mereka yang masih ingin kembali, mereka mesti diuji di Singapura dan mengemukakan surat untuk menunjukkan bahawa mereka negatif Covid-19 atau mereka harus dikuarantin selama 14 hari.

Dalam pada itu, Kok berkata, oleh kerana kerajaan meminta mereka untuk berada di Singapura selama dua minggu lagi dari 7 April, tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia untuk membantu mereka sementara menunggu mereka kembali.

Beliau juga meminta agar kerajaan Singapura membuat peruntukan munasabah dan mempermudah memberikan ujian Covid-19 secara percuma kepada pekerja Malaysia di negara itu sehingga disahkan negatif.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pekerja Malaysia banyak menyumbang kepada kejayaan Singapura sekarang, termasuklah menyumbang kepada Tabung Simpanan Pusat (CPF) secara besar-besaran.

“Oleh itu, saya sekali lagi memohon kepada kerajaan Singapura untuk mempertimbangkan memberi manfaat sama dengan apa yang dinikmati rakyat Singapura.

“Saya juga mendesak Malaysia segera mengumpulkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada wakil Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri untuk melihat kebajikan sebilangan besar pekerja kolar biru ini atau memudahkan mereka kembali ke Malaysia secepat yang mungkin,” katanya.