Malaysia Dateline

Kerajaan digesa perangi gangguan seksual terhadap wanita

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (Mawar-Yadim) membantah tindakan serangan dan keganasan terhadap wanita di media sosial yang kerap terjadi mutakhir ini.

Menurut Pengerusi Mawar-Yadim Dr Hafidzah Mustakim terkini, penulisan berbaur serangan seksual kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar adalah satu bentuk Keganasan Berasaskan Gender (Gender Based Violence (GBV)) yang melampau dan tidak dapat diterima oleh sesiapa jua.

Sebelum itu, dua pemimpin politik wanita Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei turut menjadi sasaran gangguan seksual dengan ugutan rogol dan bunuh.

Katanya, banyak lagi kes-kes gangguan dan keganasan atas talian yang dialami wanita yang tidak dilaporkan.

“Tidak kurang yang menderita dalam senyap akibat tekanan emosi buli dan keganasan siber yang mereka alami,” ujarnya dalam satu kenyataan yang turut disokong 36 Ngo yang lain.

GBV adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling banyak berlaku di dunia.

GBV didefinisikan sebagai “bentuk kekerasan apa pun yang mengakibatkan, atau mungkin mengakibatkan, bahaya fizikal, seksual atau psikologi atau penderitaan wanita, termasuk ancaman tindakan seperti perampasan kebebasan sewenang-wenangnya, baik berlaku dalam kehidupan awam atau peribadi.

Agensi Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), menganggarkan di seluruh dunia, satu dari tiga wanita akan mengalami penderaan fizikal atau seksual sepanjang hayatnya (UNFPA 2016). Data menunjukkan bahawa GBV meluas di semua lapisan masyarakat baik sosial, ekonomi dan nasional (United Nations 2016; World Health Organisation 2010).

Katanya, perkembangan terbaru ini menunjukkan trend peningkatan gangguan dan keganasan terhadap wanita di alam maya bertujuan memalukan, merendahkan maruah, mengugut dan mengancam mereka.

“Seolah-olah adanya satu gerakan terancang untuk menakut-nakutkan sekaligus membunuh karektor seseorang, khususnya dalam kalangan pemimpin.

“Bertambah buruk apabila dikatakan akaun media sosial yang digunakan oleh penyerangnya adalah palsu. Maka mereka bebas menulis apa sahaja dan berselindung di sebalik identiti yang tidak dikenali,”katanya.

Perbuatan keji ini, jelas beliau jika tidak dibendung akan menyebabkan bukan sahaja kemudaratan kepada seseorang wanita bahkan merencatkan penglibatan wanita amnya dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan dalam masyarakat, amat merugikan negara.

Statistik terkini penglibatan wanita dalam kepimpinan politik diukur dengan penglibatan sebagai anggota Parlimen berada di tahap 14.4% jauh lagi daripada angka 30% yang disasarkan.

Gangguan dan Serangan Seksual di atas talian terhadap wanita juga merupakan tindakan melampaui batas agama, budaya dan ketatasusilaan masyarakat Malaysia.

“Cukuplah apa yang disabdakan Rasulullah saw dalam hadithnya sebagai peringatan kepada kita semua.

“Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencaci, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berbuat atau berkata-kata keji dan orang yang berkata-kata kotor” HR At Tirmizi.

Justeru pihaknya menuntut agar;

Pihak Kerajaan meningkatkan pelbagai usaha memerangi keganasan berdasarkan gender termasuk di platform media sosial. Siasatan segera mesti dilakukan terhadap kes-kes gangguan dan keganasan seksual ini.

Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual mesti diteruskan dengan pembentangannya di Parlimen disegerakan. Rang Undang-undang ini akan memastikan wanita dilindungi secara jelas dan tegas di bawah sistem kehakiman negara.

Pelaku gangguan dan keganasan seksual terhadap wanita ini mesti dikenalpasti dan dihadapkan ke muka pengadilan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mestilah mengambil tindakan pantas terhadap aduan yang diterima terhadap kes-kes seperti ini dan sekiranya terbukti benar maka yang bersalah perlu dikenakan tindakan yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang lain.

Usaha pencegahan dalam bentuk pendidikan berterusan menangani keganasan terhadap wanita perlu kita gerakan di semua peringkat dalam masyarakat.