Malaysia Dateline

Kerajaan digesa percepat vaksin guru sekolah

Kerajaan digesa untuk menyegerakan pemberian vaksin kepada guru-guru sekolah menjelang Julai tahun ini.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, guru adalah antara kumpulan yang wajar diutamakan kerana para pendidik perlu menjalankan proses pembelajaran secara bersemuka dengan pelajar.

Menurutnya, biarpun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan sekolah sehingga Julai, namun proses vaksinasi kepada warga guru dan pendidik tidak harus dilengahkan.

“KPM perlu memastikan semua guru diberikan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka sepenuhnya seperti yang dirancang.

“Kita tidak mahu melihat dan mendengar ada dalam kalangan guru masih lagi belum mendapat vaksin apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

“Langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung dan sekolah masih boleh berjalan kerana mudarat jangkitan dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hasan juga mempersoalkan berapakah jumlah guru yang dijangkiti Covid-19 dan jumlah kematian guru atau pemimpin di sekolah akibat jangkitan tersebut.

Jelasnya, walaupun ianya kes terpencil, namun KPM harus bersikap terbuka dan telus dalam menyatakan bilangan kes membabitkan golongan pendidik.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan disambung lagi untuk tempoh 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan Kumpulan B pada 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ia akan berterusan hingga cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.