Malaysia Dateline

Kerajaan digesa perjelas isu Malaysia diintip penggodam China

Kerajaan digesa menyiasat kesahihan laporan media yang mendakwa penggodam yang berkerja dengan kerajaan China telah menceroboh rangkaian telekomunikasi beberapa negara di Asia Tengah dan Tenggara termasuk Malaysia untuk mengesan perjalanan orang Uyghur.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat dakwaan aktiviti tersebut adalah sebahagian daripada kempen pengintipan siber kerajaan China untuk mengesan pergerakan anggota minoriti Uyghur yang ditindas.

Katanya, kegiatan tersebut jika benar-benar berlaku ianya sama sekali tidak boleh diterima

“Saya amat terganggu dengan laporan media yang mendakwa penggodam yang bekerja untuk kerajaan China telah menggodam sistem telekomunikasi di beberapa negara Asia termasuk Malaysia.

“Jika kegiatan seperti ini benar-benar berlaku, ia tidak boleh diterima. Kegiatan seperti ini pastinya bukan sifat anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, serta tidak menggambarkan sebuah negara yang mesra kepada negara lain.

“Kita tidak boleh membenarkan negara kita diintip atau dipergunakan untuk memudahkan penyalahgunaan hak asasi manusia termasuk terhadap masyarakat Uyghur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu meminta kerajaan untuk menjelaskan sejauh mana kerosakan yang mungkin berlaku disebabkan penggodaman tersebut dan mengambil tindakan membetulkan kerosakan itu serta-merta.

Tegasnya, Malaysia perlu mengambil tindakan diplomatik, undang-undang dan pemantauan keselamatan siber yang kuat terhadap China dan penggodam yang bertanggungjawab.

“Kerajaan Malaysia mesti segera menyiasat dan menjelaskan kebenaran laporan ini. Saya ulangi, tindakan sedemikian tidak boleh diterima dan kita tidak mengambil mudah hal seperti ini,” katanya.