Malaysia Dateline

Kerajaan digesa segera buat dasar iktiraf pekerja ekonomi gig

Kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia baru-baru ini amat membimbangkan apabila kerajaan gagal mengambilkira pekerja gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing sebagai “pekerja” yang mana undang-undang Malaysia seperti gaji minimum dan perlindungan yang lain adalah tidak terpakai kepada mereka.

Tambahan lagi, Datuk Haji Awang Hashim juga berkata mereka ini ditakrif sebagai cuma bekerja sendiri atau sambilan sahaja dan bukanlah sebagai pekerja tetap.

Kenyataan ini secara langsung menunjukkan cara berfikir kerajaan pada hari ini yang tidak selari dengan peredaran zaman, serta bercanggah dengan fungsi Parlimen untuk membuat dasar baharu mengikut kepada peredaran zaman, dan memberi perhatian yang sewajarnya kepada golongan pekerja gig ini yang sebenarnya adalah pemangkin, peneraju dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

Pada 19 Februari 2021, Mahkamah Agung di United Kingdom (di dalam kes Uber BV v Aslam [2021] UKSC 5) telah membuat keputusan berkenaan sama ada pekerja gig (iaitu pemandu “Uber” di dalam kes tersebut) mempunyai status sebagai seorang pekerja dan berhak kepada perlindungan dan/atau kelebihan sebagaimana termaktub di dalam undang-undang negara tersebut.

Mahkamah Agung telah secara sebulat suara memutuskan bahawa pemandu Uber (atau pekerja gig secara amnya) berhak diklasifikasikan sebagai “pekerja”. Mahkamah Agung melihat kepada beberapa aspek sebagai justifikasi keputusan tersebut:

1. Elemen subordinasi dan pergantungan – pekerja gig tidak boleh diklasifikasikan sebagai “bekerja sendiri” kerana mereka masih tertakluk kepada subordinasi dan pergantungan.

Oleh kerana wujud subordinasi dan pergantungan antara pekerja gig dengan majikan mereka (contohnya Uber di dalam kes ini), maka golongan ini berhak mendapat perlindungan undang-undang sewajarnya. Hal perkara ini juga telah dibincangkan di dalam kes Autoclenz Ltd v Belcher (2011) UKSC 41.

2. Elemen kawalan – pekerja gig adalah terikat dengan kontrak pekerjaan di mana sekiranya pekerja gig tersebut hanya terlibat dengan Uber, maka pekerja gig tersebut adalah dikawal oleh syarikat tersebut dan adalah dihalang daripada melakukan kerja-kerja dengan mana-mana syarikat yang lain.

Tambahan lagi, apabila pelanggan mahu mendapatkan khidmat dari Uber dan pekerja gig tersebut dipilih, maka tidak mungkin Uber akan menghantar pekerja lain – malah hanya akan menghantar pekerja gig yang telah dipilih tersebut secara eksklusif. Elemen kawalan ini juga adalah justifikasi bahawa pekerja gig bukanlah boleh dikira sebagai “bekerja sendiri”.

3. Elemen Waktu Bekerja – Mahkamah Agung memutuskan bahawa pekerja gig mula bekerja pada bila-bila masa mereka bersedia (when they are available).

Hal ini adalah selari dengan lain-lain pekerjaan seperti anggota bomba atau pekerja kesihatan yang mula bekerja pada bila-bila masa mereka bersedia – walaupun tidak hadir ke tempat bekerja secara fizikal, namun masih bersedia untuk bekerja. Oleh itu, pekerja gig juga tidak seharusnya diklasifikasi sebagai “bekerja sendiri”.

Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif dan memainkan tugas sebagai pembuat dasar yang selari dengan peredaran zaman demi kesejahteraan rakyat.

Kes Mahkamah Agung yang disebut di atas juga telah dirujuk dan digunapakai di dalam satu lagi keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Addison Lee Ltd v Lange & Ors [2021] EWCA Civ 594. Pun begitu, Kerajaan Malaysia pada hari ini masih berada di takuk yang lama.

*YUSMADI YUSOFF merupakan Peguam Kanan di Tetuan Fahda Nur & Yusmadi, mantan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat. Beliau juga Pengasas badan pemikir dan kebajikan RIGHTS.