Malaysia Dateline

Kerajaan digesa siasat majikan beri layanan buruk kepada ‘frontliners’

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menggesa Menteri Sumber Manusia menyiasat dakwaan pihak majikan yang memberi layanan buruk terhadap petugas barisan hadapan selepas tidak menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang cukup.

Ia susulan lima aktivis Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) ditangkap selepas mengadakan protes bantahan terhadap majikan mereka, Edgenta UEMS.

Pengarah Sumber Manusia AWAN, Norwani Ahmat berkata, tindakan penangkapan, menggari dan merantai para pekerja seolah-olah seorang penjenayah, adalah amat dikesali.

“Penangkapan ini didakwa sebagai salah satu taktik menyekat kegiatan kesatuan sekerja oleh majikan, harus disiasat secara menyeluruh dalam usaha mencari solusi secara damai antara pekerja dan majikan.

“Khususnya pada saat seluruh dunia menzahirkan rasa terima kasih kepada petugas frontliners yang telah berganding bahu bersama petugas-petugas kesihatan bagi membasmi penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, NUWHSAS ditangkap selepas mengadakan bantahan aman di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima pekerja pembersihan hospital oleh majikannya Edgenta UEMS.

Protes semalam antara lain bagi menyuarakan bantahan terhadap penafian hak kesatuan dan pemaksaan menukar waktu bekerja.

Namun, Mahkamah majistret hari ini melepaskan lima aktivis kesatuan sekerja berkenaan selepas polis gagal mendapat perintah reman untuk merek yang ditahan.

Dilaporkan, polis telah memohon reman empat hari tetapi peguam memberitahu majistret bahawa tiada keperluan untuk itu memandangkan semua kenyataan sudah diambil.