Malaysia Dateline

Kerajaan digesa teliti keputusan MRSM yang tidak terima pelajar selain SK dan SMK

Kerajaan digesa meneliti semula keputusan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang tidak lagi menerima pelajar selain daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sahaja.

Walhal, pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), rata-ratanya dari keluarga yang berpendapatan rendah B40.

Ketua AMANAH Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib berkata, keputusan itu menyebabkan ramai kalangan ibu bapa pelajar dari sekolah selain SK dan SMK berasa tidak berpuashati, tambahan mereka adalah B40 dan miskin.

“Semua murid dari sekolah seperti SMKA, SABK, SRAI, SJK kini tidak layak untuk memohon setelah mengisi nombor kad pengenalan pelajar.

“Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid perlu meneliti semula permasalahan ini dan membuka kembali peluang pembelajaran kepada semua anak-anak bumiputera berpendapatan rendah dari semua sekolah di Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

MARA masih mengekalkan dasar sedia ada iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus daripada jumlah pengambilan dalam kalangan golongan B40.

Jumlah keseluruhan pengambilan baharu bagi sesi 2021 adalah seramai 8,900 orang yang merangkumi pelajar Tingkatan satu seramai 7,600 orang dan Tingkatan empat pula 1,300 orang.

Namun, Asri menyatakan rasa kesal apabila sekian lama MRSM menerima pendaftaran dari semua sekolah di Malaysia sama ada sekolah aliran kerajaan mahupun swasta, kini mereka telah menghadkan kepada SK dan SMK sahaja.

Pada masa sama, beliau juga menggesa agar Menteri Agama, Idris Ahmad bertanggungjawab terhadap hal ini kerana majoriti anak-anak bumiputera dalam kalangan Islam.

“MRSM perlu membuka kembali pendaftaran kepada semua sekolah-sekolah tidak hanya kepada SK dan SMK sahaja. Sepatutnya tiada sikap pilih kasih atau double standard kepada pelajar bumiputera di negara ini,” tegasnya lagi.